Agihan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) bagi penerima tanpa akaun bank di kawasan pedalaman Sabah bermula Sabtu.
Pegawai Kewangan Persekutuan Sabah, Datuk Norali @ Ag Norali Ag Damit berkata, program itu memberi tumpuan kepada golongan yang tidak mempunyai akses perbankan, sekali gus memastikan bantuan kerajaan dapat diterima secara terus tanpa halangan.
“Terdapat hampir 13,000 penerima STR tidak mempunyai akaun bank yang mana 2,246 adalah daripada kawasan pedalaman Sabah dan mereka inilah yang menjadi sasaran utama program ini.
“Pendekatan turun padang ini membantu mengurangkan kos logistik tinggi yang perlu ditanggung penduduk pedalaman untuk menuntut bantuan.
“Kuala Penyu menjadi lokasi pertama program ini melibatkan juga penerima dari Membakut dan Menumbok dan agihan ini akan diteruskan ke 14 lokasi di kawasan pedalaman Sabah sehingga hujung Jun.
“Usaha ini penting bagi memastikan tiada golongan tercicir daripada menerima bantuan yang disediakan kerajaan,” katanya ketika ditemui media ketika Program Penunaian STR Tahun 2026 Bagi Penerima Tiada Akaun Bank di Kawasan Pedalaman Sabah di Dewan Dato’ Shahbandar Makang, di sini, Sabtu.
Advertisement

Norali memaklumkan inisiatif berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai agensi terutama agensi-agensi di bawah Kementerian Kewangan Malaysia antaranya Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serta kerajaan negeri dan pejabat daerah.
“Dalam program ini, BSN menyediakan perkhidmatan pembukaan akaun bank bagi memudahkan penerima menerima bayaran secara terus pada masa akan datang manakala LHDN membuka kaunter semakan dan pengemaskinian maklumat serta semakan kelayakan kepada individu yang belum menerima STR.
“Dalam masa sama, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup turut melaksanakan Jualan Rahmah Madani bagi membolehkan penerima mendapatkan barangan keperluan harian pada harga lebih rendah,” tambahnya.
Selepas Kuala Penyu, program berkenaan akan diteruskan ke Beaufort pada 26 April disusuli Kemabong (10 Mei), Nabawan, Ranau dan Tongod (16 Mei), Matunggong (21 Mei), Kota Marudu, Pulau Banggi dan Beluran (23 Mei), Pitas (13 Jun), Paitan (14 Jun), Kunak (20 Jun) dan terakhir di Pulau Bum Bum, Semporna pada 21 Jun.