Kota Kinabalu: Seorang pengawal keselamatan berusia 34 tahun didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan melakukan gangguan seksual fizikal terhadap seorang murid perempuan.
Mohd Firdaus Basir mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan terhadap pertuduhan yang dibacakan pada Rabu.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun sembilan bulan dengan memeluk dan mencium pipi mangsa bagi tujuan seksual pada kira-kira jam 5.50 pagi, 13 Januari lalu di sebuah sekolah di Tuaran.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (SOACA) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Selain itu jika disabitkan tertuduh juga berdepan hukuman tambahan di bawah Seksyen 16(1) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun serta sekurang-kurangnya dua sebatan.
Mahkamah menetapkan 9 Jun depan untuk pengurusan kes prabicara dan tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh selepas dibantah pihak pendakwaan.
Advertisement

Sementara menunggu tarikh tersebut Mohd Firdaus diperintahkan direman lanjut.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Bryan Francis membantah permohonan jaminan atas alasan terdapat kemungkinan tertuduh mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan lain kerana mengetahui lokasi mereka.
Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar jaminan diberikan dengan alasan mempunyai anak serta ahli keluarga lain untuk ditanggung selain ibu bapanya yang kurang sihat.