KUNAK: Sebuah stor penyimpanan barang berhampiran lot parkir bangunan Sapang, di sini, musnah dalam satu kebakaran, petang Isnin.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Kunak, Mohamad Omarbatha berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999 jam 3.49 petang.
“Lima anggota diketuai Komander Operasi PBK1 Mohd Ridzuan bersama jentera CFRT dan EMRS bergegas ke lokasi kejadian yang jaraknya tiga kilometer dari balai bomba.
“Setibanya di lokasi kejadian, pasukan mendapati api merebak dengan cepat memusnahkan keseluruhan premis itu,” katanya.
Operasi pemadaman api dibantu oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM).
Pasukan bomba bertindak memadam api menggunakan hos dengan dua pancutan dari pili bomba berdekatan.
Advertisement

Sementara itu, sebuah Ford Ranger dan Proton Persona yang diletakkan di lot parkir berhampiran turut mengalami kerosakan kecil disebabkan bahang api. Orang ramai juga membantu mengalihkan beberapa lagi kenderaan.
“Tiada mangsa dilaporkan sementara punca dan jumlah kerugian dalam siasatan,” katanya, menambah operasi ditamatkan jam 4.37 petang.