Kota Kinabalu: Seorang wanita berusia 56 tahun dikenakan denda keseluruhan RM200 oleh Mahkamah Majistret pada Rabu selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan gagal memberikan penjelasan mengenai kemasukan wang ke dalam akaun bank miliknya.
Azawati Mohd Salleh mengaku bersalah di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus atas kedua-dua pertuduhan di bawah Seksyen 22A(1) Ordinan Kesalahan-Kesalahan Kecil (Sabah).
Beliau dikenakan denda RM100 atau tiga hari penjara bagi setiap pertuduhan.
Bagi pertuduhan pertama Azawati didapati menerima kemasukan RM1,500 milik seorang individu bernama Adnan Amirul ke dalam akaun banknya pada 20 Mac 2023 di sebuah bank di Jalan Gaya namun gagal memberikan penjelasan munasabah mengenai sumber wang tersebut.
Bagi pertuduhan kedua wanita berkenaan juga gagal menjelaskan kemasukan RM6,800 milik pengadu yang sama ke dalam akaun sama pada 31 Mac 2023.
Setiap pertuduhan memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100 atau penjara maksimum tiga bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Advertisement

Mahkamah diberitahu wang berkenaan milik pengadu yang menjadi mangsa penipuan dalam talian.
Mangsa dipercayai berkenalan dengan seorang wanita warga asing di Facebook yang menjanjikan penghantaran bungkusan namun kemudian meminta bayaran untuk kos penghantaran.
Mangsa yang mempercayai perkara itu membuat beberapa transaksi sebelum menyedari tiada sebarang bungkusan diterima malah diminta membuat bayaran tambahan lalu membuat laporan polis.
Siasatan mendapati akaun bank Azawati menerima wang RM1,500 dan RM6,800 yang sepadan dengan sebahagian bayaran mangsa.
Azawati memberitahu siasatan bahawa dirinya telah menyerahkan kad ATM dan nombor PIN kepada seorang lelaki dikenali sebagai “Ryan” yang ditemui secara dalam talian selepas dijanjikan ganjaran.
Namun lelaki tersebut kemudian tidak dapat dihubungi dan dirinya tidak menerima sebarang bayaran.
Azawati mengakui membenarkan akaun banknya digunakan oleh pihak ketiga tetapi tidak dapat menjelaskan sumber wang tersebut.
Tidak diwakili peguam Azawati merayu hukuman ringan dengan alasan akaun banknya telah ditutup.
Majistret Dzul menasihati Azawati supaya menjaga maklumat akaun bank dan tidak menyerahkannya kepada pihak lain bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Dalam kes berasingan seorang wanita berusia 28 tahun didenda RM1,400 atau sebulan penjara kerana terlibat dalam aktiviti judi dalam talian di tempat awam.
Dellyiana Gosopok mengaku bersalah di hadapan Majistret Marilyn Kelvin atas pertuduhan melakukan kesalahan itu pada 11.30 pagi, 10 April di laluan kaki lima sebuah restoran di Likas.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mahkamah diberitahu polis menjalankan pemantauan sebelum mendapati tertuduh sedang berjudi menggunakan telefon bimbit di lokasi tersebut.
Tertuduh kemudian ditahan bersama telefon bimbit dan wang tunai RM55.
Siasatan turut menemui aplikasi judi dalam talian dengan baki kredit RM1,788 di dalam telefon berkenaan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Inspektor Yusdi Basri dan Alia Nuurlysa Adnan.