LABUAN: Sebuah kedai musnah dalam kebakaran awal pagi Sabtu.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan berkata, kejadian kira-kira jam 3.39 pagi itu melibatkan sebuah bangunan kedai dua tingkat jenis separa kekal di Simpang 10, Kampung Lajau.
“24 anggota dikerah ke lokasi bersama empat jentera, termasuk FRT dan EMRS, sejurus panggilan kecemasan diterima. Setibanya di lokasi, pasukan mendapati premis terbakar kira-kira 60 peratus.
“Kebakaran dikawal kurang sejam kemudian dan operasi ditamatkan pada jam 6.54 pagi. Tiada mangsa dilaporkan terlibat, manakala punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya.
Sementara itu, Angkatan Pertahanan Awam (APM) menerima aduan melibatkan seekor biawak di D’One Mart, Peladang.
Pegawai APM Labuan, Mejar (PA) Wan Mohd Jabir Wan Mohd Badrudin berkata panggilan diterima pada jam 3.01 petang selepas pengadu melaporkan seekor biawak memasuki kedai dan memerlukan bantuan segera.
“Pihak APM berjaya menangkap biawak tersebut menggunakan penjerut sebelum dilepaskan semula ke habitat asalnya,” katanya. Beliau menambah, sebelum itu pihaknya turut menerima satu aduan lain melibatkan pokok tumbang sehingga menghalang kawasan tempat letak kereta di Kampung Sungai Pagar.
Panggilan kecemasan diterima pada jam 10.39 pagi dan pasukan APM dikerah untuk kerja-kerja pemotongan dan pengalihan pokok tumbang itu.