Kota Kinabalu: Kementerian Pem-bangunan Belia, Pembangunan Sukan dan Ekonomi Kreatif akan memberikan 2,000 tiket percuma sebagai langkah meraih sokongan untuk Sabah FC pada perlawanan akhir kedua Piala Cabaran MFL menentang Pulau Pinang FC di Stadium Likas Ahad ini (19 April).
Menterinya Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, yang membuat pengumuman pada majlis Kesyukuran Adilfitri Kementerian pada Selasa berkata tiket itu hanya boleh didapati pada pagi Sabtu.
“Sebagai sokongan daripada Kementerian, kami telah menyediakan 2,000 tiket percuma kepada peminat sebagai sebahagian daripada usaha kami meningkatkan sokongan kepada Sabah FC dan memberi motivasi kepada pemain sebelum perlawanan akhir.
“Ia atas dasar ‘siapa cepat dia dapat’. Pengagihan akan diuruskan oleh pejabat Lembaga Sukan Sabah, dengan butiran lanjut mengenai masa dan lokasi akan diumumkan tidak lama lagi,” katanya.
Menteri itu turut menyuarakan harapan agar Sabah FC dapat mempamerkan prestasi memberangsang-kan dan akhirnya merungkai kemarau piala yang berpanjangan untuk negeri ini sejak kali terakhir memenangi Piala FA pada 1995. “Kita berharap Sabah boleh menjadi juara Piala Cabaran MFL untuk edisi 2026 ini kerana sudah terlalu lama kita tidak memenangi sebarang trofi.”
Nizam menggalakkan peminat meme-nuhi Stadium Likas bagi menyokong pasukan itu bersama-sama beliau dan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Mohd Noor.
“Saya menyeru penyokong untuk turun beramai-ramai memenuhi stadium yang boleh memuatkan kira-kira 35,000 penonton bagi memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Sabah FC.
“Ketua Menteri juga dijangka menghadiri perlawanan akhir itu, membuktikan komitmen kerajaan negeri terhadap pembangunan bola sepak.
“Malah, kerajaan negeri juga bersetuju untuk mempertimbangkan pemberian bonus kepada pasukan Sabah FC sekiranya kita muncul juara,” katanya.