Kota Kinabalu: Zara Qairina Mahathir ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan skor paling rendah dalam skala penilaian koma, Mahkamah Koroner diberitahu pada Selasa.
Penolong Pegawai Perubatan Mohd Faiszal Md Saimi, 40, berkata keadaan Zara dinilai pada tiga daripada 15 dalam Skala Koma Glasgow iaitu ukuran perubatan yang digunakan untuk menentukan tahap kesedaran pesakit yang menunjukkan keadaan paling serius.
Saksi ke-69 itu turut menyatakan dalam kenyataan saksinya bahawa sepanjang perjalanan membawa Zara ke Hospital Queen Elizabeth (QEH), beliau memantau tanda-tanda vital mangsa yang berada dalam julat normal dengan tekanan darah 108/83 mmHg, kadar nadi 82 denyutan seminit, kadar pernafasan 20 seminit dan tahap oksigen 98 peratus tanpa bantuan.
Beliau memberikan oksigen menggunakan topeng aliran tinggi dan memasukkan branula hijau ke tangan kanan mangsa ketika dalam perjalanan ke QEH 1.
Mohd Faiszal memberitahu mahkamah bahawa beliau terlebih dahulu menilai Zara dengan memanggil namanya, namun tiada respons.
“Saya kemudian memeriksa saluran pernafasannya dan mendapati dia bernafas seperti biasa.
“Untuk penilaian lanjut, saya memeriksa matanya dan mendapati tiada tindak balas terhadap cahaya.
“Tiada bunyi atau respons suara daripada pesakit dan dia juga tidak menunjukkan sebarang tindak balas fizikal,” katanya.
Mohd Faiszal turut memberi keterangan bahawa beliau tidak melihat sebarang kecederaan di bahagian belakang kepala Zara disebabkan rambutnya yang tebal dan beliau perlu mengutamakan kestabilan saluran pernafasan, selain tiada pendarahan aktif ketika itu.
“Saya tidak melihat kecederaan di belakang kepalanya kerana rambutnya tebal.
“Saya tidak dapat menjalankan pemeriksaan terperinci kerana perlu memastikan saluran pernafasan mangsa kekal stabil dan pendarahan juga tidak aktif,” katanya.
Menurut Mohd Faiszal, beliau menerima panggilan daripada HQE kira-kira jam 3.23 pagi pada 16 Julai mengenai seorang pelajar yang ditemui tidak sedarkan diri di asrama SMKA Tun Datu Mustapha.
Beliau kemudian bersiap dan bertolak dari Klinik Kesihatan Kinarut kira-kira jam 3.34 pagi menaiki ambulans yang dipandu rakannya sebelum tiba di sekolah itu sekitar jam 3.45 pagi.
Setibanya di lokasi, seorang pengawal keselamatan mengarahkan mereka ke asrama perempuan di mana beliau melihat ramai guru, pelajar dan anggota keselamatan berkumpul.
“Di lokasi, saya melihat seorang pelajar perempuan terbaring di atas lantai konkrit di sebelah bangunan asrama. Dia memakai baju sukan putih dan seluar trek hitam,” katanya.
Beliau bertanya kepada mereka yang berada di situ mengenai kejadian dan dimaklumkan oleh seorang guru wanita bahawa pelajar itu terjatuh dari tingkat tiga namun tiada saksi kejadian.
Selepas membuat penilaian awal terhadap Zara, beliau segera memasang kolar servikal bagi menstabilkan leher mangsa dengan bantuan seorang guru lelaki.
Beliau mendapati kesan darah pada sarung tangannya dan melihat kecacatan pada buku lali kiri serta pergelangan tangan kiri mangsa yang dipercayai patah.
Beliau juga menemui luka tusukan pada tumit kiri dipercayai akibat tulang patah yang terkeluar.
Beliau membersihkan luka terbabit dan memasang bidai pada anggota yang cedera sebelum meminta peralatan tambahan termasuk pengusung jenis scoop, pengusung biasa dan selimut daripada ambulans.
Dengan bantuan seorang guru wanita dan pengawal keselamatan, Zara diangkat dengan berhati-hati ke atas pengusung scoop sebelum dipindahkan ke pengusung biasa dan seterusnya dibawa masuk ke dalam ambulans.
Mohd Faiszal berkata beliau memasang kolar servikal pada leher Zara dengan bantuan seorang guru lelaki dan menyedari terdapat sedikit darah pada sarung tangannya.
Beliau turut memberi keterangan bahawa mereka terus membawa Zara ke QEH 1 dengan ditemani seorang guru wanita.
“Kami tiba di Jabatan Kecemasan hospital kira-kira jam 4.27 pagi di mana dia dibawa ke zon resusitasi kritikal atas arahan kakitangan hospital.
“Saya kemudian memindahkan pesakit ke katil dan menyerahkan kes kepada petugas unit kecemasan sebelum beredar bersama rakan saya dan kembali ke Klinik Kesihatan Kinarut,” kata Mohd Faiszal.
Beliau turut memberitahu mahkamah bahawa tiada gambar diambil di lokasi kejadian kerana peraturan jabatan melarang pengambilan gambar bagi melindungi privasi pesakit.