Fri, 17 Apr 2026
Headlines:
Sokong dapatan kecederaan Zara jatuh dari tempat tinggi
Published on: Tuesday, April 14, 2026
Published on: Tue, Apr 14, 2026
By: Cynthia D Baga
Text Size:
Text:
Sokong dapatan kecederaan Zara jatuh dari tempat tinggi
Kota Kinabalu: Seorang pakar patologi forensik kanan bersetuju dengan dapatan Dr Jessie Hiu bahawa kecederaan dialami Allahyarham Zara adalah konsisten dengan kejadian jatuh dari tempat tinggi.

Datuk Seri Dr Bhupinder Singh Jeswant Singh, 74, yang merupakan Profesor Madya dalam Perubatan Forensik dan Perundangan di Royal College of Surgeons in Ireland & University College Dublin Malaysia Campus (RUMC) Pulau Pinang berkata beliau telah meneliti semua dokumen berkaitan inkues Zara.

Advertisement
“Satu bedah siasat yang teliti telah dijalankan oleh Dr Hiu bersama pasukannya.

“Saya bersetuju dengan dapatan berkaitan kecederaan, sama ada kecederaan luaran mahupun dalaman.

SPONSORED CONTENT
Cosmobeauté Malaysia and beautyexpo will expand into East Malaysia with the launch of the Cosmobeauté Malaysia Borneo Festival 2026 at the Sabah International Convention Centre (SICC) from May 25 to 26.
“Saya menyokong dapatan dan pendapat yang dikemukakan oleh Dr Hiu,” katanya ketika membacakan kenyataan saksi pada Isnin.

Dr Bhupinder yang dipanggil oleh peguam Datuk Ram Singh, memberi keterangan sebagai saksi ke-68 di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.

Advertisement
Dalam rumusannya beliau mengingatkan bahawa adalah tidak wajar untuk membuat tafsiran berlebihan terhadap hubungan antara kecederaan yang diperhatikan dengan anggaran ketinggian jatuh.

Beliau menjelaskan bahawa corak kecederaan dalam kes jatuh dari tempat tinggi bergantung kepada beberapa faktor termasuk ketinggian, berat badan, kelajuan, jenis permukaan hentaman, orientasi badan ketika impak serta keanjalan dan kelikatan tisu pada bahagian badan yang terlibat, dengan ketinggian sebagai faktor utama.

Advertisement
Dr Bhupinder turut menambah bahawa pemeriksaan pakaian adalah sebahagian penting dalam siasatan forensik namun tiada pakaian tersedia dalam kes ini.

Menjawab soalan Ram, beliau berkata gambar yang diambil di lokasi Zara ditemui di kawasan asrama adalah sangat penting kerana ia menunjukkan kedudukan mangsa selepas terjatuh.

“Saya fikir ini satu-satunya gambar yang ada dan diambil di lokasi kejadian sebelum mangsa dibawa ke hospital.

“Ia sangat bernilai dalam kes ini kerana menunjukkan kedudukan mangsa ketika ditemui sekali gus memberi petunjuk terhadap jenis kecederaan yang dialami,” katanya.

Sebelum ini Dr Hiu memberi keterangan bahawa taburan dan sifat kecederaan mangsa adalah konsisten dengan jatuh dari tempat tinggi.

Beliau juga menyatakan berdasarkan pemeriksaan lokasi, adalah tidak mungkin mangsa terjatuh secara tidak sengaja atau ditolak dari kedudukan berdiri berhampiran penghadang konkrit di koridor.

Sementara itu Amir berkata mahkamah tidak dapat menganggarkan bila inkues tersebut akan selesai.

Katanya setakat ini tarikh pendengaran telah ditetapkan sehingga Jun.

“Saya tidak mahu membuat anggaran buat masa ini,” katanya ketika menjawab pertanyaan Ram Singh mengenai tempoh penyelesaian inkues tersebut.

Inkues bersambung hari ini. 
* Follow us on our official WhatsApp channel and Telegram for breaking news alerts and key updates!

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
Advertisement
Share this story
Advertisement
Advertisement
Follow Us  
           
Daily Express News  
© Copyright 2026 Sabah Publishing House Sdn. Bhd. (Co. No. 35782-P)
close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
Try 1 month for RM 18.00
open
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here