PENAMPANG: Tiada penjualan atau hidangan bir dibenarkan di rumah-rumah tradisi sempena sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri di Hongkod Koisaan tahun ini.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata hanya minuman tradisi akan dihidangkan kepada pengunjung sepanjang program “rumah terbuka” selama dua hari itu.
“Minuman tradisi juga ‘berbahaya’. Ia juga boleh memabukkan,” katanya sambil menambah bahawa bir masih boleh dijual di kawasan terbuka lain dalam kompleks Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA).
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa induk sambutan Kaamatan 2026, Isnin.
Selain itu, antara inisiatif baharu yang diperkenalkan tahun ini ialah format pertandingan Unduk Ngadau Kaamatan (UNK), yang turut diubah apabila hanya 25 finalis, berbanding kesemua 73 peserta mewakili daerah, akan mara ke peringkat akhir pada 31 Mei.
“Pada 30 Mei, semua peserta akan melalui sesi pra-penjurian Unduk Ngadau, namun hanya 25 terbaik akan layak ke peringkat akhir pada 31 Mei,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, perkhidmatan bas ulang-alik (bas shuttle) percuma akan disediakan dari pusat beli-belah Imago dan Suria Sabah pada 30 dan 31 Mei.
“Langkah itu juga sebagai usaha mengatasi masalah kekurangan tempat letak kereta yang sering menjadi cabaran utama di sekitar kompleks berkenaan,” katanya.
Beliau berkata penambahbaikan itu turut melibatkan pembukaan Kaunter Informasi Kaamatan bermula 15 hingga 31 Mei ini bagi memudahkan pelancong dan pengunjung mendapatkan maklumat berkaitan jadual program perayaan itu serta kepelbagaian budaya etnik di Sabah.
Joachim berkata beberapa skrin LED tambahan akan dipasang di bahagian belakang kompleks KDCA bagi memberi peluang kepada orang awam untuk menonton acara yang berlangsung di dalam Dewan Hongkod Koisaan secara siaran langsung.
Beliau berkata penambahbaikan rumah-rumah tradisi di kompleks berkenaan telah dilaksanakan bagi meningkatkan keselesaan serta pengalaman pengunjung, selain kawasan tapak pameran agensi dinaik taraf melalui kerja penurapan bertujuan memastikan persekitaran lebih teratur dan selesa.
Menurut Joachim, rumah terbuka akan diadakan di semua rumah tradisi pada 30 dan 31 Mei dari 11 pagi hingga 2 petang, sambil menegaskan tiada minuman beralkohol dijual atau dihidangkan, sebaliknya hanya minuman tradisional disediakan manakala persembahan dan pameran budaya pula berlangsung mengikut jadual yang ditetapkan.
“Pertandingan Kecemerlangan Pengurusan Rumah Tradisi akan diadakan dan diadili oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Lembaga Pelancongan Sabah dan Tourism Malaysia berdasarkan piawaian serta kriteria antarabangsa,” katanya.
“Tahun ini kita juga telah memohon kepada Malaysia Book of Records untuk mengiktiraf Pesta Kaamatan sebagai sambutan pesta menuai paling lama di Malaysia,” katanya.
Sambutan Pesta Kaamatan yang berlangsung sepanjang bulan Mei akan memuncak dengan acara dua hari di KDCA, yang menampilkan pelbagai persembahan kebudayaan, termasuk pakaian tradisional, tarian, pertunjukan, permainan serta juadah.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, penganjur menerima kritikan susulan persepsi bahawa sambutan Kaamatan dipengaruhi unsur pengambilan alkohol berlebihan sehingga menjejaskan harga pasaran bagi penjual dan pengguna, selain mengganggu kawasan kejiranan berhampiran.