TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) merampas 30,800 liter diesel bernilai lebih RM1.16 juta serta menahan seorang lelaki tempatan dalam serbuan di sebuah gudang di Jalan Sin San, di sini, pada Jumaat.
Komander PPM Sabah (Wilayah 4) ACP Ahmad Amri Abd Rahman berkata serbuan pada jam 5 petang itu dilakukan hasil risikan PPM serta maklumat orang awam sebelum mengekori sebuah lori yang dipandu dalam keadaan mencurigakan ke lokasi berkenaan.
“Pemeriksaan mendapati aktiviti pemindahan diesel secara haram sedang dijalankan, selain menemukan tiga lori, tiga tangki mudah alih dan 10 tong dram yang dipercayai digunakan untuk penyelewengan barang kawalan,” katanya pada Sabtu.
Ahmad Amri berkata kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat bagi membanteras penyelewengan serta penyeludupan barang kawalan, selain memastikan kestabilan ekonomi dan keselamatan negara terpelihara.
Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan atau penyelewengan barang kawalan diminta menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membolehkan tindakan segera diambil.
Sementara itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri memohon supaya fasiliti Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dapat digunakan dalam usaha memperkukuh operasi membanteras penyelewengan subsidi minyak, khususnya di kawasan pesisir dan sempadan negeri Sabah.
Pengarah KPDN Sabah Shahril Nizam Shahidin berkata usaha itu dilihat mampu membantu KPDN memperluas capaian operasi terutama dalam menangani aktiviti penyeludupan serta penyelewengan barangan kawalan seperti petrol dan diesel.
“Ia menjadi platform penting dalam memperkukuh kerjasama dua hala, perkongsian maklumat serta penyelarasan tindakan antara KPDN dan TLDM ke arah mempertingkatkan keberkesanan penguatkuasaan dalam membanteras penyelewengan subsidi kerajaan secara bersepadu.
“Di samping itu, ia juga bagi memastikan keselamatan bekalan dan kestabilan pasaran sentiasa terpelihara,” katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu selepas menerima kunjungan hormat daripada Timbalan Panglima Armada Timur Laksamana Pertama Erman Shahril Adlan, Jumaat.
Shahril Nizam berkata antara perkara lain dibincangkan dalam pertemuan itu, termasuk pelaksanaan operasi bersepadu yang akan diperhalusi dari segi mekanisme dan bidang kuasa bagi memastikan tindakan penguatkuasaan dapat dilaksanakan secara lebih tersusun dan berimpak tinggi.
Beliau berkata langkah itu dilihat mampu meningkatkan keupayaan pemantauan dan penguatkuasaan, sekali gus memastikan keselamatan bekalan serta kestabilan pasaran di Sabah terus terpelihara.
“Antara topik utama lain yang turut dibincangkan ialah pelaksanaan Program Jualan Rahmah Madani sebagai inisiatif membantu meringankan kos sara hidup rakyat,” katanya.