Kota Kinabalu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah sekali lagi membuktikan komitmennya dalam membanteras ketirisan subsidi apabila menumpaskan satu lagi aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi menerusi Ops Tiris 4.0, Isnin lalu.
Pengarah KPDN Sabah, Shahril Nizam Shahidin berkata operasi itu dilaksanakan hasil risikan terperinci Unit Risikan Sabah yang menjalankan pemantauan berterusan terhadap pergerakan mencurigakan di beberapa stesen minyak sekitar bandar raya ini.
Susulan maklumat diperoleh, katanya, sepasukan anggota penguat kuasa KPDN digerakkan untuk melakukan serbuan di sebuah stesen minyak yang dikenal pasti menjadi lokasi kegiatan tersebut.
“Hasil pemeriksaan di lokasi mendapati dua kenderaan yang diparkir di pam nombor enam dan lapan disyaki terlibat dalam aktiviti penyelewengan diesel secara terancang.
“Kenderaan itu telah diubah suai dengan pemasangan tangki tambahan jenis Intermediate Bulk Container (IBC) berkapasiti 1,000 liter, dengan anggaran kandungan sekitar 800 liter diesel bagi setiap kenderaan,” katanya dalam kenyataan di sini, Selasa.
Beliau berkata siasatan awal mendapati modus operandi sindiket adalah mengisi diesel melalui tangki asal kenderaan sebelum dipindahkan ke dalam tangki IBC menggunakan sistem hos dan pam elektrik yang diubah suai.
Katanya, kaedah itu dipercayai digunakan untuk mengumpul diesel bersubsidi dalam kuantiti besar sebelum diedarkan secara haram kepada pihak tertentu.
Menurutnya, dua lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an turut ditahan bagi membantu siasatan dan diarahkan mengemukakan dokumen berkaitan seperti permit barang kawalan, buku stok serta rekod pembelian dan penjualan diesel.
“Bagaimanapun, kedua-dua individu berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen sah, sekali gus menguatkan elemen kesalahan,” katanya.
Shahril berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan tujuan melakukan kesalahan, yang memperuntukkan tindakan tegas termasuk denda dan hukuman penjara jika sabit kesalahan.
Beliau berkata bagi kes pertama, rampasan melibatkan sebuah kenderaan jenis Isuzu Trooper, satu unit tangki IBC, pam elektrik, hos getah serta minyak diesel dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM12,695.
Manakala bagi kes kedua, katanya, rampasan melibatkan sebuah van Toyota Lite Ace, satu tangki IBC, dua unit pam elektrik, hos getah serta minyak diesel dengan nilai keseluruhan RM10,050.
“Secara keseluruhan, nilai rampasan bagi kedua-dua kes mencecah RM22,745, sekali gus mencerminkan kesungguhan KPDN dalam mengekang ketirisan subsidi yang boleh menjejaskan kepentingan rakyat dan ekonomi negara,” katanya.
Beliau menegaskan sebarang bentuk penyelewengan barang kawalan bersubsidi merupakan kesalahan serius dan tidak akan dikompromi.
Shahril turut memberi amaran kepada semua pihak termasuk pemilik stesen minyak agar sentiasa mematuhi undang-undang serta arahan kerajaan bagi memastikan pengagihan subsidi dilakukan secara adil, telus dan berkesan.
Selain itu, orang awam diseru bekerjasama dengan pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan kerana peranan masyarakat sebagai “mata dan telinga” penting dalam membantu tindakan penguatkuasaan dilaksanakan dengan lebih pantas dan berkesan.