Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri terus mempergiat agenda pendigitalan sebagai pemacu utama pertumbuhan termasuk memperluas capaian di kawasan luar bandar, memperkukuh keupayaan digital serta mempercepat pembangunan ekonomi digital yang inklusif.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata bagi tujuan itu, sejumlah RM32.31 juta diperuntukkan kepada Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri (JPKN) bagi perbelanjaan operasi dan pembangunan tahun ini.
Advertisement
_E.jpg)
Beliau berkata, daripada jumlah itu, RM9.59 juta diperuntukkan bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan kerajaan berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), merangkumi penyediaan komputer dan rangkaian ICT kepada agensi kerajaan negeri, pengurusan pusat data, pengukuhan keselamatan siber serta pembangunan sistem aplikasi kerajaan.
“Kerajaan Negeri melalui pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), dengan sokongan Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi terus meletakkan pendigitalan sebagai teras utama pertumbuhan.
“Fokus diberikan kepada memperluas capaian digital di kawasan luar bandar, memperkukuh keupayaan digital serta membangunkan ekonomi digital yang inklusif, selaras dengan komitmen untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing negeri,” katanya ketika melancarkan identiti korporat baharu Celcom Timur (Sabah) Sdn Bhd di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Selasa.
Teks ucapannya dibacakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai.
Advertisement

Hajiji berkata capaian digital memainkan peranan penting dalam menyokong komunikasi, memacu inovasi serta membuka peluang pertumbuhan dalam pelbagai sektor.
Sehubungan itu, beliau berkata, pengukuhan infrastruktur digital merupakan antara faktor kritikal dalam memastikan kejayaan dan kemajuan Sabah, termasuk merealisasikan SMJ 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030.
“SMJ 2.0 ialah pelan strategik utama yang dirangka untuk meningkatkan daya saing, produktiviti dan nilai ekonomi Sabah secara mampan serta inklusif.
“Ia merupakan kesinambungan SMJ 1.0 yang sebelum ini memberi tumpuan kepada pemulihan dan penstabilan pasca Covid-19, dan kini diperluaskan bagi menangani cabaran global yang semakin kompleks, termasuk yang didorong oleh kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital serta perdagangan rentas sempadan,” katanya.
Beliau berkata dalam konteks ini, kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan pemain industri seperti Celcom Timur (Sabah) Sdn Bhd amat penting dalam merapatkan jurang digital serta mempercepat pembangunan ekosistem digital negeri.
Tambahnya, transformasi identiti korporat syarikat itu mencerminkan kesediaannya untuk melangkah ke hadapan sebagai penyedia infrastruktur dan rakan strategik dalam membentuk masa depan digital Sabah.
Hajiji berkata setakat ini, Celcom Timur (Sabah) telah membangunkan hampir 12,000 kilometer rangkaian gentian optik di seluruh Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, yang menjadi tulang belakang kepada capaian antara daerah serta menyokong keperluan industri, khususnya dalam sektor telekomunikasi.
“Rangkaian ini membolehkan akses lebih luas kepada perkhidmatan digital, termasuk di kawasan yang sebelum ini kurang mendapat liputan.
“Peranan ini meletakkan Celcom Timur (Sabah) bukan sahaja sebagai penyedia infrastruktur, tetapi juga sebagai pemudah cara pembangunan digital inklusif serta pemacu utama daya saing negeri dalam era digital,” katanya.
Beliau berkata, sumbangan syarikat itu turut terserlah melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif nasional seperti Rangkaian Digital Negara (Jendela), Point of Presence (POP2) dan rangkaian 5G dengan Celcom Timur (Sabah) bertindak sebagai penyedia utama rangkaian gentian optik di negeri ini.