Sun, 12 Apr 2026
Headlines:
Ekonomi Biru pemacu strategik Hala Tuju SMJ 2.0: Ketua Menteri
Published on: Friday, April 10, 2026
Published on: Fri, Apr 10, 2026
By: Larry Ralon
Text Size:
Text:
Ekonomi Biru pemacu strategik Hala Tuju SMJ 2.0: Ketua Menteri
HAJIJI ketika melakukan gimik pelancaran dana BSSF pada acara itu.
Kota Kinabalu: Ekonomi Biru akan menjadi pemacu strategik dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi mentransformasikan struktur ekonomi negeri ke arah pertumbuhan bernilai tambah tinggi, inklusif dan mampan. 

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata pendekatan itu berteraskan kelebihan maritim serta kekayaan biodiversiti Sabah yang merangkumi pelbagai sektor strategik termasuk perikanan moden, akuakultur, bioteknologi marin, logistik maritim dan pelancongan berasaskan alam semula jadi. 

Advertisement
“Pendekatan ini selari dengan teras pemerkasaan ekonomi rakyat, keseimbangan wilayah, inovasi dan kelestarian alam sekitar yang menjadi tunjang SMJ 2.0,” katanya ketika merasmikan Majlis Teraju Aspirasi Outreach Sabah 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Khamis. 

Beliau berkata pelan berkenaan diunjurkan mampu menjana pendapatan hasil laut sehingga RM3.25 bilion setahun menerusi sektor perikanan dan akuakultur sekali gus membuka ruang pertumbuhan baharu kepada ekonomi negeri. 

SPONSORED CONTENT
Cosmobeauté Malaysia and beautyexpo will expand into East Malaysia with the launch of the Cosmobeauté Malaysia Borneo Festival 2026 at the Sabah International Convention Centre (SICC) from May 25 to 26.
Sektor itu terus menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila menyumbang sebanyak RM9.18 bilion kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara sehingga suku ketiga 2025 dengan pengeluaran hasil laut melebihi 1.91 juta tan metrik bernilai kira-kira RM6.05 bilion. 

Mengulas pencapaian pembangunan negeri, beliau berkata pelaksanaan SMJ 1.0 (2021–2025) berjaya meletakkan asas kukuh kepada pemulihan ekonomi Sabah serta meningkatkan kesejahteraan rakyat walaupun berdepan ketidaktentuan global. 

Advertisement
“Sepanjang tempoh itu, Sabah mencatat sejarah apabila kutipan hasil negeri hampir RM7 bilion buat pertama kali dengan RM6.96 bilion pada 2022, RM6.97 bilion pada 2023 dan kekal kukuh dengan pungutan hasil sebanyak RM6.76 bilion pada 2025,” katanya. 

Beliau berkata prestasi itu turut disokong peningkatan KDNK negeri yang mencapai RM84.3 bilion pada 2024 berbanding RM77.8 bilion pada 2020, sekali gus menempatkan Sabah sebagai penyumbang ketujuh terbesar kepada ekonomi negara. 

Advertisement
Katanya, unjuran KDNK bagi 2025 juga dijangka terus berkembang sekitar 1.5 peratus, mencerminkan momentum pertumbuhan ekonomi negeri yang kekal stabil. 

Menurutnya, kejayaan SMJ 1.0 memberi keyakinan bahawa Sabah berada pada landasan tepat, seterusnya mendorong pelaksanaan SMJ 2.0 yang menuntut anjakan menyeluruh termasuk perubahan cara berfikir, bekerja dan mencipta nilai baharu untuk rakyat. 

“Hala tuju ini juga diselaraskan dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi memastikan kesinambungan pembangunan negeri sehingga 2030,” katanya. 

Dalam pada itu, Hajiji berkata penganjuran program Teraju Aspirasi Outreach Sabah 2026 membuktikan peranan penting Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) sebagai pemudah cara dalam memperkasa pembangunan ekonomi Bumiputera di Sabah. 

Beliau berkata program outreach berkenaan bukan sahaja menyediakan akses kepada pembiayaan dan pembangunan kapasiti, malah membuka peluang jaringan perniagaan yang lebih luas kepada usahawan tempatan. 

“Platform ini juga menjadi jambatan yang menghubungkan dasar kerajaan dengan pelaksanaan di peringkat akar umbi, sekali gus memastikan manfaat pembangunan dapat disampaikan secara lebih menyeluruh,” katanya. 

Sehubungan itu, beliau menyeru usahawan Bumiputera di negeri ini agar memanfaatkan sepenuhnya peluang yang disediakan termasuk meneroka sektor baharu seperti Ekonomi Biru yang mempunyai potensi besar jika diterokai secara strategik.
* Follow us on our official WhatsApp channel and Telegram for breaking news alerts and key updates!

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
Advertisement
Share this story
Advertisement
Advertisement
Advertisement
Follow Us  
           
Daily Express News  
© Copyright 2026 Sabah Publishing House Sdn. Bhd. (Co. No. 35782-P)
close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
Try 1 month for RM 18.00
open
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here