TAWAU: Polis mengesahkan siasatan rakaman video tular yang memaparkan kemalangan membabitkan seorang pejalan kaki dilanggar oleh sebuah kereta semasa melintas jalan di Batu 3 Jalan Apas pada Selasa sebagai belum selesai dan masih lagi berjalan.
Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Hussin berkata siasatan dibuka selepas polis menerima laporan daripada seorang pengadu lelaki yang hadir ke Kaunter Aduan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau pada jam 3 petang berkaitan satu klip video tular yang sudah ditonton sehingga 88,000 kali.
Advertisement
_E.jpg)
“Video berdurasi 46 saat itu tular di media sosial Facebook yang dimuat-naik oleh seorang netizen dan menunjukkan kemalangan melibatkan sebuah kenderaan dengan seorang pejalan kaki yang berlaku kira-kira jam 12.05 tengahari,” katanya pada Rabu.
Jasmin berkata siasatan awal menunjukkan kenderaan terlibat adalah kereta sedan jenis Proton Persona yang dipandu seorang lelaki tempatan berumur 55 tahun bersama tiga penumpang dan dalam perjalanan dari Ranggu menuju ke Bandar Tawau.
Menurutnya semasa kereta itu tiba di lokasi kejadian, seorang pejalan kaki dipercayai melintas jalan dari sebelah kiri jalan untuk menuju ke sebelah kanan jalan sehingga menyebabkan berlakunya kemalangan walaupun pemandu bertindak membrek kenderaannya bagi mengelak perlanggaran.
“Pemandu kenderaan memandu di lorong kanan dan tidak sempat mengelak atas faktor jarak yang terlalu dekat sehingga menyebabkan perlanggaran berlaku.
Advertisement

“Selepas kejadian itu berlaku pemandu kenderaan terus bertindak segera membawa pejalan kaki terlibat ke Hospital Tawau untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan lanjut akibat kecederaan yang dialami,” katanya.
Beliau berkata siasatan mendapati pejalan kaki terbabit seorang lelaki warga asing yang berumur 58 tahun dan kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil serta masih menerima rawatan di Hospital Tawau.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 berkaitan perbuatan memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa,” ujarnya.
Tambahnya orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih di media sosial berhubung kejadian berkenaan, lebih-lebih lagi siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan.