Kota Kinabalu: Kekurangan saksi yang boleh dipercayai, lokasi pembunuhan yang jauh serta ketiadaan bahagian badan gajah menghalang perkembangan siasatan terhadap seekor gajah Borneo yang dibunuh dengan kejam.
Gajah itu ditemui mati di sebuah kawasan hutan simpan di Tongod.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Jafry Ariffin berkata setakat ini pihak penyiasat masih belum memperoleh petunjuk baharu berhubung pembunuhan kejam terbabit.
Beliau berkata kejadian berlaku di tengah hutan menyebabkan peluang untuk seseorang menyaksikan kejadian itu amat tipis.
“Oleh itu, pihak penyiasat perlu mendapatkan maklumat melalui kaedah tidak langsung yang diharapkan dapat dijadikan titik permulaan untuk siasatan lanjut,” katanya menurut laporan The Star.
Jafry berkata proses itu akan mengambil masa lebih lama memandangkan terdapat kemungkinan kepala gajah yang dipotong serta gadingnya ditanam jauh dari lokasi sebenar pembunuhan.
Beliau berkata penahanan suspek secara sewajarnya tidak dapat dilakukan buat masa ini disebabkan pelbagai faktor termasuk ketiadaan bahagian badan gajah yang hilang.
Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah Mohd Soffian Abu Bakar menjelaskan bahawa tiada masalah untuk mendapatkan kerjasama daripada pekerja ladang, pengusaha atau komuniti setempat.
Sebaliknya, beliau berkata bukti yang diperlukan untuk meneruskan siasatan amat sukar diperoleh.
“Kami juga bekerjasama dengan polis dan agensi lain yang mengendalikan jenayah hidupan liar dalam kes ini,” katanya.
Seekor gajah Borneo dewasa ditemui dibunuh dengan kepalanya dipotong dalam bentuk L dan gadingnya hilang pada 17 Mei lalu.
Jabatan itu percaya perbuatan berkenaan dilakukan oleh pemburu gading haram.
Susulan kejadian itu, Tabung Alam Sedunia (WWF) Malaysia berkata pembunuhan berkenaan amat membimbangkan dan menjadi amaran bahawa hidupan liar di negeri ini terus terancam.
Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif WWF Malaysia, Sophia Lim mengecam pembunuhan kejam itu dan menegaskan kes terbabit tidak boleh dianggap sebagai kes terpencil.
Beliau berkata tindakan secara kolaboratif perlu diambil bagi menangani dan mengelakkan kejadian sama daripada berulang.
Katanya, petunjuk jelas bahawa kes ini melibatkan jenayah terancang bagi perdagangan gading bukan sahaja memerlukan penguatkuasaan lebih tegas, malah penyelarasan lebih pantas antara agensi.
Tambahnya, ia juga memerlukan perkongsian risikan yang lebih meluas serta sokongan penuh orang ramai bagi menutup ruang yang dieksploitasi pemburu haram.
Lim berkata gajah merupakan sebahagian warisan semula jadi Sabah yang tidak ternilai kerana sebagai spesies utama dan jurutera ekosistem, haiwan itu memainkan peranan penting dalam penyebaran benih, pemulihan hutan dan pemeliharaan biodiversiti.
“Jika kita kehilangan haiwan ini, kita akan kehilangan keseimbangan ekologi dan daya tahan hutan kita serta masa depan yang disokong olehnya,” katanya.
“Ini adalah masa untuk kita semua termasuk kerajaan, komuniti, masyarakat sivil dan orang ramai bertindak secara tegas,” tambahnya.
Ketua Unit Perlindungan Hidupan Liar WWF Malaysia Sharon Koh berkata bukti awal menunjukkan pembunuhan itu dilakukan secara sengaja untuk mengambil gading.
Beliau berkata modus operandi serta keadaan gajah itu ditemui amat membimbangkan dan menunjukkan bagaimana rangkaian jenayah ini beroperasi.
Katanya, hutan Sabah yang luas dan kompleks menjadikan mustahil untuk memantau setiap kawasan pada setiap masa walaupun agensi penguatkuasaan telah melakukan yang terbaik dalam keadaan mencabar.
Koh berkata dengan hanya kira-kira 1,000 ekor gajah Borneo masih tinggal di Sabah setiap kehilangan amat besar maknanya.
“WWF Malaysia menyeru usaha segera untuk melindungi gajah Borneo Sabah melalui kesungguhan bersama dan penyelarasan antara kerajaan, komuniti, masyarakat sivil serta orang ramai,” tegasnya.