KENINGAU: Aktiviti penyeludupan dadah di kawasan sempadan Malaysia-Indonesia khususnya di Bantul, Pagalungan dan Nabawan masih menjadi ancaman yang mencabar kedaulatan serta keselamatan negara, menurut Ketua Polis Negara (KPN) Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.
Katanya, ini susulan kejayaan beberapa operasi bersepadu pasukan keselamatan yang membawa kepada rampasan dadah berskala besar di Tawau, Kota Kinabalu dan Semporna baru-baru ini.
Beliau berkata pihak tertentu dipercayai mengambil kesempatan menggunakan laluan sempadan bagi menjalankan kegiatan penyeludupan narkotik dan bahan terlarang ke negara ini.
“Jenayah yang sedang kita tinjau melibatkan isu penyeludupan dan saya percaya ada pihak tertentu yang mengambil kesempatan melakukan kesalahan jenayah melibatkan narkotik ataupun dadah,” katanya.
Mohd Khalid berkata demikian kepada pemberita sempena Program Jelajah Wira Madani Siri Kedua peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di sini.
Menurutnya, kejayaan operasi berkenaan membuktikan komitmen berterusan pihak berkuasa dalam membanteras kegiatan penyeludupan serta jenayah terancang di kawasan sempadan negara.
Beliau berkata keadaan bentuk muka bumi yang luas dan mencabar di kawasan pedalaman memerlukan pemantauan rapi selain kerjasama erat antara semua agensi keselamatan bagi memastikan sebarang ancaman dapat dibendung lebih awal.
Dalam masa sama, tambahnya, masyarakat di kawasan pedalaman dan sempadan turut diseru supaya memainkan peranan sebagai mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat sekiranya mengesan aktiviti mencurigakan.
Katanya, usaha memperkukuh kawalan sempadan amat penting bukan sahaja bagi memerangi jenayah rentas negara malah memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terus terpelihara.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) berpuas hati dengan perkembangan pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nabawan yang kini mendahului jadual asal sebanyak 21 hari.
Mohd Khalid berkata pembinaan IPD baharu itu amat penting dalam memperkukuh aspek keselamatan dan kesiapsiagaan pasukan polis khususnya di kawasan pedalaman serta sempadan negara.
Katanya, IPD baharu itu dijangka mampu menyediakan kemudahan lebih kondusif kepada warga PDRM selain meningkatkan keberkesanan operasi dalam menangani jenayah serta menjaga keselamatan masyarakat setempat.