TAMPARULI: Ahli Parlimen Tuaran, Wilfred Madius Tangau menegaskan bahawa cadangan untuk mengutamakan penyelesaian isu prasarana kesihatan dan pendidikan berbanding tuntutan hak 40 peratus Sabah adalah tidak wajar serta boleh mengelirukan rakyat.
Menurut beliau, sektor kesihatan dan pendidikan merupakan tanggungjawab Kerajaan Persekutuan seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, dua sektor itu di bawah Senarai Persekutuan (Jadual Kesembilan), merangkumi isu sekolah daif, kemudahan klinik dan hospital uzur, serta pembangunan institusi pendidikan awam di Sabah.
Madius berkata, hasil 40 peratus yang dituntut oleh Sabah sepatutnya dimanfaatkan untuk memperkukuh bidang di bawah kuasa kerajaan negeri.
Ini termasuk pemberian biasiswa negeri, bekalan air, pelabuhan, sektor pertanian, perkhidmatan veterinar, tenaga elektrik, jalan raya di bawah Jabatan Kerja Raya negeri, jalan pertanian, pentadbiran tanah serta pembangunan luar bandar dan pengurusan sumber asli.
Madius menjelaskan, kekangan kewangan yang berpanjangan telah memaksa Sabah meminjam daripada Kerajaan Persekutuan dengan kadar faedah empat peratus bagi melaksanakan projek-projek asas negeri.
Advertisement

“Dalam sektor elektrik sahaja, Sabah menanggung pinjaman hampir RM3 bilion. Naik taraf Pelabuhan Sepanggar pula melibatkan pinjaman melebihi RM2 bilion, selain kos pembinaan loji rawatan air dan pembangunan infrastruktur lain yang mencecah berbilion ringgit,” katanya dalam kenyataan Rabu.
Beliau menambah isu penyukatan tanah yang masih tertangguh di banyak kawasan berpunca daripada kekangan kewangan dan kekurangan tenaga kerja, sehingga kerajaan negeri terpaksa mendapatkan bantuan Persekutuan melalui program Pantas.
Menurutnya, cadangan menggunakan hasil 40 peratus untuk menampung tanggungjawab Persekutuan bukan sahaja tidak tepat, malah berpotensi menimbulkan salah faham dalam kalangan rakyat.
“Hak 40 peratus ini penting bagi memastikan Sabah mempunyai keupayaan kewangan mencukupi untuk membangunkan sektor di bawah bidang kuasa negeri yang sekian lama tertangguh,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan rakyat Sabah agar mengambil iktibar daripada beberapa keputusan lampau yang memberi kesan besar kepada negeri, termasuk penyerahan Labuan kepada Kerajaan Persekutuan tanpa pampasan, serta penyerahan kira-kira 300,000 ekar tanah di Lahad Datu dan Tawau kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan.
Sehubungan itu, Madius menyeru rakyat Sabah supaya tidak terkeliru dengan cadangan berkenaan, sebaliknya terus menyokong usaha menuntut pelaksanaan hak 40 peratus seperti yang telah diputuskan oleh mahkamah.