TAWAU: Polis memberkas seorang lelaki tempatan, 32, yang disyaki terlibat dalam kes mencederakan dan ugutan jenayah dalam satu serbuan di sebuah premis di Jalan Dominic, di sini, pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, tangkapan dilakukan sekitar jam 1.30 petang oleh sepasukan polis Strike Team dari Balai Polis Tawau yang bertindak atas maklumat.
Advertisement
_E.jpg)
Menurutnya, dalam operasi itu, polis menahan suspek selepas dipercayai terbabit dalam satu kes jenayah yang dilaporkan sebelum ini.
“Semakan lanjut mendapati suspek mempunyai beberapa rekod kesalahan lampau berkaitan penyalahgunaan dadah,” katanya.
Jasmin berkata, kes terbaharu melibatkan suspek disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.
Mengulas lanjut, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dalam sebarang kegiatan jenayah serta sentiasa mematuhi undang-undang.
Advertisement

Tegasnya, polis tidak akan berkompromi untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan jenayah demi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam terus terpelihara.