SANDAKAN: Seorang remaja lelaki ditemui lemas selepas dipercayai terjatuh ke laut di Kampung Tinosa, Batu 7, di sini, petang Khamis.
Mohd Mahadir Danish Abdullah ditemui oleh saudaranya di bawah sebuah jambatan perkampungan atas laut tersebut kira-kira jam 4 petang. Difahamkan sebelum kejadian, mangsa dipercayai keluar ke kedai bersama rakannya sebelum terjatuh ke laut.
Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP George Abd Rakman, berkata sebaik sahaja pasukan polis tiba di lokasi, mangsa didapati terbaring di atas jambatan dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Menurutnya, pegawai perubatan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi kemudian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
“Pemeriksaan awal ke atas badan mangsa mendapati tiada kesan kecederaan. Setakat ini tiada unsur jenayah atau khianat yang disyaki berlaku,” katanya, menambah kes buat masa ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Beliau berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Duchess of Kent untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.