Kota Kinabalu: Sebuah syarikat didenda keseluruhan RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen kerana memasang pendawaian elektrik tanpa kelulusan Sabah Electricity (SE) serta menggunakan bekalan elektrik secara tidak jujur sehingga menyebabkan kerugian dianggarkan RM6,258.12 kepada SE.
Hakim Mahkamah Sesyen Marlina Ibrahim menjatuhkan hukuman itu selepas pengarah MBS Tuning Sdn Bhd mengaku bersalah bagi pihak syarikat terhadap dua pertuduhan pada Jumaat.
Bagi pertuduhan pertama syarikat itu didenda RM20,000 atau penjara 30 hari jika gagal membayar denda kerana mengambil bekalan elektrik secara tidak sah melalui sambungan terus dari talian utama tanpa melalui meter milik SE ke premis syarikat sehingga menyebabkan kerugian kepada SE.
Kesalahan itu dilakukan pada jam 9.15 pagi, 12 Mac 2025 di Lorong Minyak, Inanam.
Pertuduhan dibuat mengikut Subseksyen 61(3)(a) Enakmen Bekalan Elektrik 2024 yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 61(3)(ii) enakmen sama yang memperuntukkan denda antara RM20,000 hingga RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua mahkamah memerintahkan syarikat itu membayar denda RM5,000 atau penjara 30 hari jika gagal membayar kerana memasang pendawaian elektrik di premis tanpa kelulusan bertulis daripada SE selaku pemegang lesen pada tempat dan masa yang sama.
Semasa rayuan peguam Sherzali Asli yang mewakili syarikat memohon denda lebih ringan dengan alasan syarikat telah membayar pampasan kepada SE atas kerugian yang dialami.
Bagaimanapun pegawai pendakwa dari Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECOS) Andryero Thomas memohon hukuman setimpal dikenakan kerana kesalahan itu serius menyebabkan kerugian kepada SE serta wajar dijadikan pengajaran kepada tertuduh dan pihak lain.
Mahkamah diberitahu bahawa pada hari kejadian sepasukan pegawai penguat kuasa ECOS bersama SE menjalankan operasi di premis MBS Tuning Sdn Bhd.
Hasil pemeriksaan mendapati premis tersebut tidak mempunyai akaun bekalan elektrik atau meter berdaftar dengan SE serta tiada kontrak bekalan elektrik yang sah.
Pemeriksaan lanjut menemui sambungan elektrik tiga fasa secara haram yang disambung terus dari talian perkhidmatan SE ke premis tanpa melalui meter elektrik sah milik SE.
Bekalan elektrik itu disalurkan terus ke papan agihan dalam premis dan digunakan untuk menjalankan perniagaan yang melibatkan bengkel, pejabat dan gudang.
Pasukan pemeriksa turut menemui sebuah meter elektrik di premis berkenaan namun meter itu bukan milik SE dan dipercayai digunakan untuk mengelirukan pihak berkuasa manakala bekalan sebenar disambung terus dari talian SE tanpa melalui meter yang sah.
Akibat perbuatan itu SE mengalami kerugian dianggarkan RM6,258.12 bagi tempoh 1 April 2024 hingga 12 Mac 2025.