KUNAK: Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (JPVS) dan Majlis Daerah Kunak (MDKNK) melaksanakan dua serbuan berasingan di premis perniagaan di daerah ini menerusi Operasi Op Chiller Sabah 2.0 pada Rabu lalu.
Batalion 22 PGA Kunak dalam satu kenyataan memaklumkan operasi yang disertai cawangan risikan, pasukan petugas khas serta Tiger Platun itu berjaya menahan empat individu, terdiri daripada seorang wanita dan tiga lelaki.
Menurut kenyataan itu, kesemua suspek dipercayai menjalankan aktiviti perniagaan produk sejuk beku tanpa lesen sah selain gagal mengemukakan invois bagi setiap produk yang dipasarkan.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM391,104.56.
“Kesemua tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah Kunak untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 15(1) Enakmen Haiwan Sabah 2015,” menurut kenyataan itu.
Pasukan petugas khas PGA Kunak turut menegaskan komitmen untuk terus melaksanakan operasi penguatkuasaan di kawasan tanggungjawab bagi mengekang aktiviti yang menyalahi undang-undang.
Menurut kenyataan itu lagi, operasi tersebut membuktikan keberkesanan kerjasama antara agensi dalam memastikan keselamatan makanan serta memelihara kepentingan pengguna di daerah ini.