Kota Kinabalu: Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman menerima kunjungan Panglima Angkatan Tentera (PAT) Ke-24, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman di Istana Seri Kinabalu, pada Khamis.
Menurut Malek, kunjungan itu bertujuan memperkenalkan diri selain berkongsi perkembangan semasa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta usaha memperkukuh peranan pasukan keselamatan negara.
“Saya juga menyampaikan taklimat ringkas kepada Tun Musa berkenaan tindakan-tindakan yang diambil untuk kita memartabatkan ATM ini sebagai satu entiti yang ulung dan dipercayai.
“ATM memfokuskan kepada keselamatan khusus untuk negeri Sabah kerana kedudukan negeri ini yang unik, bersempadan dengan beberapa buah negara sama ada secara sempadan darat, laut mahupun udara.
“Dengan kehadiran ATM di darat, laut dan udara serta kerjasama dengan pelbagai agensi, termasuk Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), kita dapat memastikan keselamatan Sabah terus terjamin dan aman,” katanya, ketika ditemui media selepas kunjungan berkenaan.
Beliau memberi jaminan ATM akan terus melakukan analisis dan penambahbaikan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan negara sentiasa berada pada tahap terbaik.
Malek dilantik sebagai PAT pada 1 Feb lepas menggantikan Tan Sri Mohd Nizam Jaffar yang bersara wajib pada 27 Dis tahun lepas.