Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang menambah baik serta memperkemas Garis Panduan Penyertaan Asing (GPPA) supaya lebih responsif terhadap perkembangan industri semasa.
Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali berkata langkah itu bagi memastikan garis panduan itu kekal relevan dengan perubahan landskap peruncitan dan keutamaan dasar kerajaan.
Menurutnya, penambahbaikan itu mengambil kira pandangan pemegang taruh serta amalan terbaik semasa termasuk mempertimbangkan kelestarian perniagaan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) tempatan.
“Di bawah GPPA Sektor Perdagangan Pengedaran, syarikat milikan asing yang ingin beroperasi perlu mendapatkan kelulusan KPDN.
“Garis panduan ini memastikan setiap permohonan dinilai secara teratur, telus dan selari dengan kepentingan ekonomi domestik,” katanya ketika sesi penggulungan Perbahasan Usul Titah Diraja di Dewan Negara, Selasa lepas.
Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar berkata keperluan dalam garis panduan itu penting bagi menjamin keseimbangan antara keterbukaan pasaran dan perlindungan peniaga tempatan.
Mengulas cadangan supaya ditetapkan nilai ambang modal berbayar RM1 juta bagi entiti asing, beliau menjelaskan tiada peruntukan khusus mengenainya dalam undang-undang sedia ada.
Katanya, cadangan mewajibkan 51 peratus pemilikan tempatan dalam sektor sensitif juga tiada dalam peruntukan sedia ada.
Katanya, begitu juga cadangan untuk memperkenalkan keperluan perolehan dan kuota penggajian tempatan bagi melindungi PMKS kerana syarat pendaftaran perniagaan entiti asing tertakluk kepada beberapa akta dan garis panduan sedia ada.
“Di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 (Akta 197), hanya warganegara dan pemastautin tetap dibenarkan mendaftarkan perniagaan milikan tunggal atau perkongsian.
“Warga asing tanpa status pemastautin tetap tidak layak mendaftar perniagaan di bawah akta itu, bagaimanapun di bawah Akta Syarikat 2016 (Akta 777), warga asing dibenarkan memperbadankan syarikat sama ada sebagai Sdn Bhd atau Bhd.
“Tiada peruntukan khusus menetapkan keperluan modal minimum bagi pemerbadanan syarikat dan jumlah modal ditentukan sendiri oleh pengarah atau pemegang saham,” katanya.
Armizan berkata, pendekatan itu sejajar dengan prinsip kemudahan menjalankan perniagaan bagi menggalakkan pelaburan dan pertumbuhan syarikat.
Katanya, syarikat asing juga boleh beroperasi sebagai pemegang saham atau pengarah dalam syarikat tempatan atau mendaftar sebagai syarikat asing di bawah seksyen 562 Akta 777.
“Selain itu, di bawah Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012 (Akta 743), tiada sekatan terhadap warga asing menjadi pekongsi, namun syarikat dan PLT tetap tertakluk kepada undang-undang serta syarat tambahan yang ditetapkan agensi pengawal selia bagi sektor tertentu,” katanya.