LAHAD DATU: Seorang lelaki berusia 42 tahun maut dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan kenderaan pacuan empat roda (4WD) di Jalan Lahad Datu Bypass, jejambat Batu 6 di sepanjang Jalan Lahad Datu–Tawau, di sini, pada Ahad.
Ketua Polis Daerah ACP Dzulbaharin Ismail berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu 4WD berusia 34 tahun itu hilang kawalan terhadap kenderaannya sebelum terbabas.
Advertisement

Kenderaan itu kemudian merempuh sebuah motosikal yang diletakkan di bahu jalan, dengan mangsa dipercayai sedang berehat di atas motosikal tersebut ketika kejadian.
“Impak pelanggaran menyebabkan penunggang motosikal maut di lokasi kejadian, manakala pemandu 4WD serta penumpangnya tidak mengalami kecederaan,” katanya.
Menurut Dzulbaharin, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Polis meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian supaya menghubungi pegawai penyiasat, Insp. Jafri Junat dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik pada talian 089-881255 atau tampil di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Dzulbaharin turut mengingatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.