TONGOD: Tiga buah rumah di Kampung Imbak musnah dalam kebakaran pada Ahad, yang menyebabkan 12 mangsa dari tiga keluarga tinggal sehelai sepinggang.
Daripada jumlah itu, tujuh adalah lelaki dewasa, dua perempuan dewasa, dua kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan. Tiada kecederaan atau korban jiwa dilaporkan.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menerima panggilan kecemasan 11.43 pagi, dengan sepasukan empat digerakkan.
Pegawai APM Tongod Leftenan Adrian Dauli berkata pasukan itu tiba di lokasi kejadian kira-kira 20 minit kemudian, di mana anggora anggota membuat pemantauan, memadamkan kebakaran dan mengawal orang awam selain mendapatkan maklumat mangsa terlibat.
“Siasatan awal mendapati kebakaran itu menjejaskan tiga keluarga membabitkan 12 mangsa,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Adrian menambah operasi memadam kebakaran dijalankan bersama orang awam.