KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah sedang memantau kesan konflik global terhadap rantaian bekalan barangan serta implikasinya kepada pengguna melalui Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (Mindet).
Timbalan Ketua Menteri III Datuk Ewon Benedick berkata beliau telah meminta agensi berkaitan menyediakan laporan lebih terperinci mengenai bagaimana konflik tersebut memberi kesan kepada negeri ini.
Ewon, yang juga Menteri bagi kementerian itu, berkata laporan berkenaan penting bagi memberikan gambaran lebih jelas mengenai kesan terhadap Sabah dan pengguna akhir supaya perkara itu boleh dibangkitkan di peringkat Kabinet atau dibincangkan pada platform lebih tinggi.
“Saya telah meminta agensi terlibat menyediakan laporan mengenai intervensi atau tindakan susulan yang boleh dilaksanakan oleh kerajaan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata isu rantaian bekalan global itu dibincangkan dalam mesyuarat pasca-Kabinet kementerian pada Rabu lalu yang turut dihadiri agensi kerajaan negeri dan Persekutuan.
Menurutnya, konflik tersebut menyebabkan harga minyak meningkat sekali gus menambah kos logistik bagi pengangkutan laut dan udara, seterusnya mengganggu rantaian bekalan.
Selain itu, kebimbangan keselamatan serta gangguan di laluan perdagangan antarabangsa juga boleh melambatkan ketibaan barangan ke Sabah dan menjejaskan eksport beberapa produk.
Tambahnya, kementerian akan terus memantau perkembangan bagi memastikan langkah sewajarnya diambil untuk mengurangkan kesan terhadap pengguna di Sabah.