TAWAU: Sebanyak 525 produk peranti tembakau, termasuk rokok elektronik (vape) tidak berdaftar, dianggarkan bernilai RM14,000 dirampas dalam Operasi Taring Alpha 3 di daerah ini, baru-baru ini.
Operasi bersepadu itu membabitkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau serta Task Force Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau.
Pegawai Kesihatan Kawasan Tawau, Dr Shameer Khan Sulaiman berkata, rampasan dibuat selepas pasukan operasi mengesan kesalahan penjualan vape yang tidak berdaftar dengan KKM di sekitar daerah ini.
"Kesalahan lain yang turut dikesan adalah pembungkusan dan pelabelan yang tidak mengikut spesifikasi serta garis panduan ditetapkan, selain kesalahan mengiklankan produk peranti tembakau yang melanggar peruntukan di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024,” katanya.
Beliau mengesahkan kesemua 525 peranti vape yang dirampas itu bukanlah barang seludup, tetapi tidak berdaftar dan tidak mematuhi syarat ditetapkan, selain ada juga yang tidak melalui proses kemasukan yang betul.
Dr Shameer ditemui media selepas Ops Bazar Ramadan dan Promosi Kesihatan Tibi 2026 di Sabindo, pada Rabu.
Mengulas lanjut, beliau berkata tindakan tersebut diambil hasil risikan bersama pasukan PGA.
“Operasi seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan undang-undang, apatah lagi ketika ini terdapat syarat jelas yang perlu dipatuhi oleh penjual dan pengedar produk tersebut.
"Produk mesti berdaftar serta mematuhi garis panduan KKM atau tindakan tegas akan diambil, termasuk rampasan dan pelupusan produk sekiranya gagal,” katanya, menambah semua peranti yang dirampas akan dilupuskan mengikut prosedur ditetapkan.
Dalam masa yang sama, beliau berkata pihaknya akan terus menjalin kerjasama strategik bersama PGA dalam usaha mengekang lambakan produk tidak berdaftar di pasaran, sekali gus melindungi kesihatan awam.