Kota Kinabalu: Bekas ketua jurulatih skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan, Juan Torres Garrido, dilantik sebagai ketua jurulatih baharu Sabah FC susulan peletakan jawatan Jean-Paul de Marigny pada Disember lalu.
Pelantikan jurulatih kelahiran Sepanyol itu diumumkan Pengurus Sabah FC, Mohd Arziz Afizy, pada Rabu.
Menurut Arziz, Alto Linus yang sebelum ini menggalas tugas sebagai ketua jurulatih interim sejak pemergian De Marigny akan kembali memegang peranan sebagai penolong jurulatih, manakala Garrido akan mula membimbing pasukan bermula perlawanan menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Likas pada Sabtu ini.
“Kami percaya pengalaman serta pengetahuannya mengenai Liga Malaysia menjadi faktor penting dalam keputusan untuk melantik beliau,” katanya sambil menyatakan keyakinan terhadap kemampuan Garrido memacu pasukan ke arah prestasi lebih baik.
Beliau turut yakin kehadiran jurulatih baharu itu mampu membawa perubahan positif kepada pasukan, khususnya dalam usaha memperbaiki kedudukan Sabah FC dalam saingan Liga Malaysia musim 2025/2026.
“Fokus utama kami juga adalah untuk mara ke pentas final Piala Cabaran MFL 2025/2026,” katanya.
Arziz turut menyeru pemain agar menunjukkan komitmen dan disiplin tinggi serta menyesuaikan diri dengan segera terhadap pendekatan latihan baharu yang diperkenalkan Garrido.
“Saya yakin dengan semangat berpasukan yang kuat dan keazaman tinggi, Sabah FC mampu mencatat keputusan membanggakan selepas ini,” katanya.