KENINGAU: Mahkamah Majistret di sini memerintahkan seorang lelaki berusia 44 tahun membayar denda RM10,000 atau berdepan hukuman penjara setahun kerana mencuri kabel Telekom Malaysia (TM).
Majistret Flavian Edward Hendry menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Azlan Abdullah selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri kabel kepunyaan TM.
Advertisement

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan.
Berdasarkan fakta kes, kira-kira jam 8 malam pada 16 Februari, sepasukan pegawai polis dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau menjalankan pemantauan selepas menyedari Muhammad bertindak mencurigakan.
Dia dilihat menarik kabel TM dari lubang bawah tanah menggunakan pengangkat berantai di kawasan semak di belakang Dewan Majlis Daerah Keningau (MDK) di Jalan Bariawa.
Pasukan serbuan kemudian bertindak pantas menahan Muhammad di lokasi kejadian kerana dipercayai sedang mencuri kabel berkenaan.
Siasatan mendapati Muhammad mengaku bertindak bersendirian dalam kejadian itu dan menggunakan peralatan yang dibawanya dari kawasan Tulid di Sook.
Pemeriksaan lanjut di lokasi menemui lubang kira-kira tiga kaki dalam yang digali bagi mengakses kabel TM bawah tanah.
Penilaian awal oleh kakitangan TM mengesahkan kabel terbabit ditarik oleh Muhammad sehingga menyebabkan kerosakan pada sambungan kabel.
Bagaimanapun, Muhammad tidak sempat melarikan kabel itu kerana dia segera ditahan pihak polis.