TAWAU: Seorang kontraktor didenda RM20,000 atau penjara sebulan oleh Mahkamah Sesyen Khas Rasuah pada Isnin atas enam pertuduhan alternatif menggunakan dokumen palsu bagi menipu dalam kerja baik pulih dan penyelenggaraan di dua sekolah di Tawau.
Hakim Elsie Primus menjatuhkan denda RM5,000 bagi setiap empat pertuduhan alternatif menjadikan jumlah keseluruhan RM20,000 manakala dua pertuduhan baki diambil kira dalam hukuman terhadap Jumadil Iggoh, 62.
Advertisement

Jumadil sebelum itu mengaku bersalah terhadap kesemua enam pertuduhan alternatif selepas ia dibacakan kepadanya oleh jurubahasa mahkamah.
Dia didakwa atas tiga pertuduhan menggunakan dokumen palsu iaitu penyata akaun Bank Islam Lima Construction bertarikh 13 Oktober 2020 untuk bulan Jun, Julai dan Ogos 2020 bagi mendapatkan sebut harga secara palsu untuk kerja baik pulih dan penyelenggaraan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kinabutan II di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin (PPE) 2020. Kesalahan dilakukan sebagai pemilik Lima Construction di Pejabat Pendidikan Daerah Tawau pada 14 Oktober 2020.
Tertuduh juga didakwa atas tiga lagi pertuduhan menggunakan dokumen sama bertarikh 13 Julai 2020 untuk bulan April, Mei dan Jun 2020 bagi mendapatkan sebut harga secara palsu untuk kerja baik pulih kuarters guru dan rumah di Sekolah Kebangsaan (SK) Andrassy.
Kesalahan ini turut dilakukan sebagai pemilik syarikat kontraktor di Pejabat Pendidikan Daerah Tawau pada 14 Julai 2020.
Jumadil didakwa di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 Kanun yang sama, yang memperuntukkan penjara maksimum dua tahun, denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Tertuduh sebelum ini juga pernah didakwa di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wardah Ishhar, manakala Jumadil diwakili peguam Nur Hafizah Husna Elahab @ Lahab.