Kota Kinabalu: Ajdin Mujagic kembali cemerlang di Stadium Likas apabila membantu kelab baharunya Johor Darul Ta’zim (JDT) membelasah Sabah FC 6-1 dalam aksi Liga Super pada Ahad.
Bekas pemain Badak yang berhijrah menyertai JDT ketika jendela perpindahan terbuka Januari lalu menjaringkan dua gol serta melakukan dua bantuan jaringan dalam perlawanan berat sebelah itu.
Advertisement

Pasukan pelawat mendahului seawal minit ketujuh apabila Bergson Da Silva menyempurnakan sepakan penalti selepas dikasari Dane Ingham di dalam kotak penalti.
Mujagic kemudian mempamerkan ketajamannya di hadapan gol dengan menjaringkan gol pertama pada minit ke-20 menerusi rembatan pepenjuru.
Empat minit kemudian, dia membuat hantaran jauh kepada Oscar Aribas yang membantu JDT melebarkan kedudukan kepada 3-0 sebelum menjaringkan gol kedua peribadinya pada minit ke-38 selepas menyambar bola muntah untuk meletakkan JDT selesa mendahului empat gol pada separuh masa pertama.
Sabah FC bolos dua gol pantas sebaik babak kedua bermula dengan jaringan pertama oleh Manuel Federico Hidalgo pada minit ke-46 dan dua minit kemudian Aribas sekali lagi menemui sasaran hasil hantaran lorong sempurna daripada Mujagic.
Walaupun tewas besar, Sabah FC memperoleh sedikit kelegaan apabila pemain import baharu Chris Marlon Ondong Mba menjaringkan gol sagu hati menerusi voli menarik pada minit ke-88.

Pemangku ketua jurulatih Badak, Alto Linus mengaitkan kekalahan 1-6 itu dengan kesilapan kritikal dilakukan pemainnya.
Beliau meluahkan kekecewaan terhadap banyak kesilapan yang membawa kepada kekalahan pasukan.
“Kesilapan demi kesilapan oleh pemain menyebabkan kami dihukum. Kami mudah dipergunakan dan perkara ini perlu ditangani segera bagi mengelakkan ia berulang dalam perlawanan akan datang,” katanya.
Beliau menegaskan kepentingan mengambil pengajaran daripada kekalahan itu ketika pasukan membuat persiapan menghadapi cabaran seterusnya.
“Secara keseluruhan kami perlu memperbaiki banyak perkara, khususnya gol yang dibolosi akibat kesilapan sendiri. Jika tidak diperbetulkan, kami mungkin berdepan keputusan sama dalam perlawanan akan datang.”