TAMBUNAN: Beberapa kampung di daerah ini serta di Tenom terjejas akibat banjir sejak Ahad lalu yang menyebabkan kerosakan kepada infrastruktur, harta benda dan kemudahan asas penduduk.
Di Kampung Piasau, arus deras menghanyutkan pagar sawah serta menyebabkan hakisan tanah pertanian dan tanah persendirian.
Peralatan pertanian dan barangan rumah penduduk turut rosak, manakala tiga kenderaan dilaporkan terjejas. Sistem saliran juga didapati tersumbat akibat kayu-kayu dan sisa yang dihanyutkan arus sungai.
Di Kampung Dabata pula, sistem tali air yang hampir pecah telah menyebabkan limpahan air memasuki kawasan rumah penduduk.
Penduduk melahirkan kebimbangan sekiranya sistem tersebut tidak dibaiki segera, keadaan boleh menjadi lebih buruk sekiranya hujan lebat berulang.
Sementara itu, di Kampung Tikolod, kerosakan paip graviti telah mengakibatkan gangguan bekalan air bersih kepada penduduk kampung.
Pegawai Daerah, Azri Zaini berkata, pihak jawatankuasa telah mengenal pasti beberapa tindakan segera, termasuk kerja penyelenggaraan sungai, pembaikan culvert serta penghantaran bekalan air bersih ke kawasan terjejas.
“Penilaian terperinci sedang dijalankan oleh agensi berkaitan bagi menentukan anggaran kerosakan dan memastikan tindakan pemulihan dapat dilaksanakan secepat mungkin,” katanya.
“Kita memahami kesukaran yang dihadapi penduduk akibat bencana ini. Justeru, kita akan memastikan laporan lengkap dikemukakan kepada pihak berkaitan supaya bantuan dan peruntukan dapat disalurkan dengan kadar segera,” Pemimpin Pembangunan Masyarakat, Jinus Tagua.
Wakil penduduk, Silip Pawan, 76, berharap agar bantuan dan peruntukan segera dapat disalurkan bagi membantu mereka memulihkan kerosakan serta meneruskan kehidupan seperti sediakala.
Di TENOM, sebanyak 22 kampung di sini dilanda banjir pada Rabu berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu dan taburan hujan yang berlebihan sejak Selasa lepas.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Tenom melaporkan, kampung-kampung yang terlibat adalah Kampung Enubai, Maugus Pantongon Saga, Mandalom Lama, Pantongan Sapong, Ponontomon, Tumantalik, Paal Seberang, Saga Laut, Batu-Batu, Kuala Tomani, Kemabong Lama, Sugiang Lama, Gumisi, Belumbung, Pamaluyan, Akar Hidup, Pulongan Sapong, Batu 8, Bangkulin Lama, Kalasasan dan Batu 14.
Berikutan banjir itu, Tenom menjadi daerah kelima diisytihar kawasan bencana banjir susulan limpahan air Sungai Padas yang menjejaskan kampung-kampung terlibat.
Pegawai Daerah Tenom, Alexander Liew membuat pengisytiharan itu pada jam 9 pagi disusuli operasi pemindahan penduduk di kampung terjejas.
APM Tenom melaporkan sebanyak 22 laluan di kawasan terjejas, termasuk di Kemabong dikenal pasti tidak dapat dilalui semua jenis kenderaan.
Sementara itu, sebanyak 11 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka bagi pemindahan mangsa banjir setakat ini iaitu Dewan Ontoros Kemabong, Sekolah Kebangsaan (SK) Saga Laut, Rumah Kebudayaan (RK) Gumisi Laut, Dewan terbuka Kampung Maugus, RK Mandalom Lama, RK Pantongan Saga, RK Ponontomon, RK Skim Kuala Tomani, RK Bangkulin Lama, Gereja Lalandang dan Dewan Humana Desa Sapong.
Tiga jalan utama di Tenom dilaporkan tidak boleh dilalui semua jenis kenderaan iaitu Jalan Sapong – Kemabong, Jalan Labut Enubai, Jalan Tenom Ponontoman dan Jalan Sapong Tenom.
Selain itu, lima sekolah turut dilaporkan terjejas iaitu SK Sapong, SK Gumisi, SK Kemabong, SK Kuala Tomani dan SK Enubai.
Sementara itu, tiga lagi daerah – Beaufort, Membakut dan Sipitang – diisytiharkan sebagai kawasan bencana susulan laporan agensi di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) berikutan banjir yang melanda kawasan berkenaan.
Di Beaufort, pengisytiharan dibuat Pegawai Daerah Mohd Nazri Ajun, manakala di Membakut oleh Pegawai Daerah Yuesri Ismail Yusof dan di Sipitang oleh Pegawai Daerah Abd Karim A.M Azahari.
Di Beaufort, kejadian banjir kali ini merupakan insiden kedua dalam bulan ini, dipercayai berpunca daripada hujan berterusan di kawasan Keningau dan Tenom yang menyebabkan paras air meningkat serta pembukaan pintu empangan hidro Pangi susulan hujan berpanjangan sejak Ahad.
Paras Sungai Padas direkodkan meningkat kepada 9.68 meter, melepasi paras bahaya 8.70 meter.
Sebanyak 45 kampung terjejas termasuk beberapa kawasan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Klias dan Lumadan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Beaufort, Ishak Jabas, berkata semua aset logistik termasuk bot penyelamat dan lori utiliti telah digerakkan bagi membantu mangsa banjir di kampung terjejas.
Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.15 pagi daripada penduduk Kampung Suasa yang memohon bantuan pemindahan, kira-kira 30 kilometer dari balai bomba.
Seramai 87 ketua isi rumah melibatkan 275 mangsa direkodkan terjejas, terdiri daripada 45 lelaki dewasa, 98 wanita dewasa, 43 kanak-kanak lelaki, 77 kanak-kanak perempuan, seorang bayi lelaki, 11 bayi perempuan, 11 warga emas lelaki, 15 warga emas wanita, lima lelaki orang kurang upaya (OKU) dan dua wanita OKU.
Antara agensi keselamatan yang terlibat membantu operasi ialah Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Kesihatan.
Perkhidmatan kereta api antara Beaufort dan Sembulan turut dibatalkan berikutan banjir di KM89/800 Beaufort, dengan orang ramai dinasihatkan menggunakan pengangkutan alternatif.
Di Sipitang, Abd Karim berkata bacaan Sungai Kg Paru Siku atau Sungai Mengalong mencecah 15.087 meter, melepasi paras bahaya 12 meter, manakala Sungai Melalia atau Sungai Lukutan kekal pada paras waspada 10.499 meter.
Beberapa kawasan turut dilaporkan banjir termasuk Long Pasia, Long Mio, Iburuh, Nareh Rayeh, Abpa Kemadang dan Batu Nuduk.
Jambatan Meligan tidak dapat dilalui semua kenderaan menyebabkan ramai penjawat awam dan peniaga terkandas.
Mangsa yang dipindahkan di Sipitang melibatkan penduduk Kampung Kawang Baru, Kampung Sri Menanti, Kampung Skim Kawang Baru, Kawang Lama, Kampung Sindumin Baru, Kampung Luagan, Kampung Petarikan dan Kampung Sindumin.
Empat pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka termasuk Dewan Mesapol dan Sekolah Kebangsaan Padang Berampah yang menempatkan 38 ketua isi rumah.
Di Dewan Mesapol, mangsa terdiri daripada tujuh lelaki dewasa, 20 wanita dewasa, 25 kanak-kanak lelaki, 17 kanak-kanak perempuan, seorang bayi lelaki, seorang bayi perempuan, tiga warga emas lelaki, enam warga emas wanita serta seorang OKU.
Di SK Padang Berampah pula, mangsa melibatkan lapan lelaki dewasa, sembilan wanita dewasa, lima kanak-kanak lelaki, lima kanak-kanak perempuan, dua bayi perempuan, tiga warga emas lelaki, dua warga emas wanita dan seorang lelaki OKU.
Sementara itu di Membakut, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kimanis, Nelson Ponji berkata penduduk Kampung Baitam, Kampung Baru dan Kampung Kayai dipindahkan ke PPS Dewan Kesenian Membakut.
Seramai 88 ketua isi rumah melibatkan 233 mangsa direkodkan, terdiri daripada 63 lelaki dewasa, 75 wanita dewasa, 53 kanak-kanak lelaki, 40 kanak-kanak perempuan serta dua bayi lelaki.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Supt Wong Leong Meng, menasihatkan mangsa banjir agar mengutamakan keselamatan diri dan mengelakkan aktiviti di kawasan air dalam atau berbahaya.
Beliau turut menggesa orang ramai segera memaklumkan pihak penyelamat yang diketuai polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam sekiranya memerlukan bantuan.
Talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Beaufort di 087-211222 dibuka bagi kecemasan dan bantuan pemindahan.