KUNAK: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna mengeluarkan notis terhadap tiga peniaga di sini mengikut Akta Timbang dan Sukat 1972, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 serta Akta Perihal Dagangan 2011, dalam operasi bersepadu pada Selasa.
Ketua Cawangan KPDN Semporna, Satunlucy Lamioh@Lamidah berkata, operasi dijalankan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Daerah Kunak (MDKNK) bagi memastikan pematuhan undang-undang perdagangan serta peraturan kesihatan di premis sekitar daerah ini.
Operasi itu membabitkan lima pegawai KPDN, sembilan pegawai KKM dan enam pegawai MDKNK termasuk penguat kuasa.
“Hasil operasi tersebut, KKM turut mengeluarkan empat notis berasingan, manakala dua notis dikeluarkan oleh Majlis Daerah Kunak dengan pemeriksaan tertumpu di pasaraya, kedai runcit, restoran dan stesen minyak,” katanya, menambah operasi itu dijalankan susulan aduan pengguna.
“KPDN akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan bagi memastikan peniaga mematuhi undang-undang serta melindungi hak pengguna,” katanya.
Satunlucy turut mengingatkan peniaga agar tidak melakukan penyelewengan ke atas barang kawalan atau manipulasi harga, menambah KPDN kekal komited memastikan kestabilan bekalan, pematuhan harga dan mewujudkan persekitaran perdagangan yang adil demi kesejahteraan pengguna.
Sebarang aduan boleh disalurkan melalui WhatsApp rasmi KPDN pada 019-2794317 atau 019-8488000, portal eAduan KPDN, talian Call Centre 1-800-886 800, e-mel eaduan@kpdn.gov.my, aplikasi Ez ADU KPDN, Pusat Arahan Penguatkuasaan pada talian 03-88826088 atau 03-88826245, serta melalui surat rasmi ke pejabat KPDN terdekat.