Kota Kinabalu: Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) mengesahkan sesi e-review bagi rayuan berhubung hak perlembagaan Sabah terhadap 40 peratus hasil negeri telah dikosongkan dan dijadualkan semula.
Presidennya, Datuk Mohamed Nazim Maduarin berkata rayuan yang kini berada di Mahkamah Rayuan Putrajaya itu berpunca daripada keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Okt tahun lalu berkaitan pelaksanaan hak hasil perlembagaan Sabah.
Beliau berkata sesi e-review yang pada asalnya dijadualkan pada Khamis (2 April) akan diteruskan sebagai pengurusan kes melalui e-review di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan pada 13 April ini jam 9 pagi.
Menurutnya, perubahan itu adalah bersifat prosedural yang melibatkan penjadualan serta pengurusan pentadbiran rayuan berkenaan.
“Ia tidak menyentuh atau mempengaruhi isu undang-undang substantif yang sedang dipertimbangkan.
“Persoalan perlembagaan utama yang timbul daripada prosiding itu masih kekal dan akan diputuskan oleh mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Mohamed Nazim berkata SLS akan terus memantau perkembangan rayuan tersebut dan mengambil langkah sewajarnya selaras dengan peranan serta mandatnya, sambil mematuhi undang- undang dan proses yang ditetapkan.