KOTA BELUD: Lima sekeluarga nyaris maut selepas kereta pacuan empat roda (4WD) yang mereka naiki terbabas sebelum terjatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira 15 meter di Kampung Pituru Laut di sini, Selasa.
Mangsa membabitkan pasangan suami isteri berusia 44 dan 40 tahun serta tiga anak mereka berusia empat hingga 10 tahun.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Kota Belud, Elge Bakuk berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 8.01 malam dan mengerahkan lapan anggota dengan satu jentera serta satu kenderaan utiliti Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
“Kesemua mangsa dibawa keluar ke jalan raya dengan bantuan orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya.
Menurutnya, mangsa didapati cedera dan anggota EMRS kemudian bertindak memberi rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Kota Belud untuk rawatan lanjut.
“Pasukan bomba seterusnya memeriksa kenderaan dan sekitar lokasi bagi memastikan tiada bahaya lain.
“Punca kejadian masih dalam siasatan manakala operasi ditamatkan pada jam 9.07 malam,” ujarnya.