Kota Kinabalu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melancarkan Inisiatif Ihsan Food Bank (i-FB) pada Khamis bagi memperkukuh pelaksanaan bantuan makanan secara lebih menyeluruh dan mampan.
Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali berkata ia merupakan agenda transformasi susulan Konvensyen Food Bank Malaysia yang berlangsung pada 8 hingga 9 Disember lalu bagi memastikan program itu terus relevan dan berimpak tinggi.
Menurutnya, agenda transformasi berkenaan menggariskan tiga komponen utama iaitu Santuni Komuniti, Sayangi Alam dan Selamatkan Makanan sebagai teras pelaksanaan Inisiatif Ihsan Food Bank.
“Melalui pendekatan ini, kita mahu menyemarakkan nilai ihsan dan belas kasihan dalam masyarakat supaya bersama-sama menyantuni golongan rentan dan kumpulan sasar dengan menyalurkan bantuan makanan menerusi food bank.
“Usaha ini secara langsung membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat khususnya dalam konteks perbelanjaan makanan yang semakin mencabar,” katanya pada majlis pelancaran itu di Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS), Sabak Bernam, pada Khamis.
Armizan berkata i-FB turut menekankan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menyayangi alam sekitar melalui kawalan penghasilan lebihan makanan yang menjadi sisa pepejal.
Menurutnya, peningkatan sisa makanan yang tidak terkawal bukan sahaja menambah kos pengurusan pembuangan sampah secara haram, malah memerlukan pembukaan lebih banyak tapak pelupusan yang boleh menjejaskan kualiti alam sekitar.
Katanya, mengikut statistik Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), rakyat Malaysia dianggarkan menghasilkan kira-kira 17,000 tan metrik sisa makanan setiap hari.
“Situasi ini menggambarkan keperluan mendesak untuk tindakan bersepadu. Susulan itu, i-FB akan turut memberi tumpuan kepada gerakan menyelamatkan makanan,” katanya.
Beliau berkata usaha itu selaras dengan komitmen Malaysia terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 12.3 yang menyasarkan pengurangan separuh pembaziran makanan di peringkat industri dan pengguna menjelang 2030.
Menurutnya, kajian Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) mendapati sepertiga daripada makanan yang dihasilkan di seluruh dunia, bersamaan 1.3 bilion tan metrik, dibazirkan setiap tahun.
“Hasil dapatan konvensyen turut mencadangkan tiga pemboleh daya bagi memacu transformasi program food bank termasuk meningkatkan kerjasama strategik antara pihak berkepentingan melalui penyelarasan sumber dan kepakaran.
“Selain memperluas jaringan kebersamaan menerusi pendekatan ‘whole of nation’ dengan insentif galakan sebagai pengiktirafan, pelaksanaan program juga akan distruktur semula berasaskan sistem dan teknologi terkini,” katanya.
Majlis pelancaran itu turut menyaksikan perasmian Inkubator Ihsan Food Bank@PSIS yang memanfaatkan teknologi retort sumbangan KPDN sejak Jun 2022 bagi menghasilkan produk makanan selamat dan berkualiti seperti Daging Dendeng Selambak.
Sejak dilaksanakan, Food Bank Siswa@PSIS yang digerakkan oleh Gerakan Pengguna Siswa (GPS) merekodkan impak kumulatif seramai 27,360 penerima manfaat sekali gus menjadikan PSIS perintis kepada agenda transformasi program food bank melalui Inisiatif i-FB.