Kuala Lumpur: Kerajaan memanfaatkan teknologi terkini dengan mengintegrasikan kecerdasan buatan (AI) ke dalam sistem cuaca dan pengurusan bencana negara bagi menangani cabaran perubahan iklim yang semakin ketara.
Langkah itu diambil susulan kejadian cuaca ekstrem yang semakin kerap berlaku dengan kerajaan memperkukuh Sistem Amaran Awal Pelbagai Bahaya (MHEWS) bagi meningkatkan kecekapan tindak balas serta tahap kesiapsiagaan.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup
(gambar) berkata penggunaan AI dan analitik data raya akan memainkan peranan penting dalam menambah baik sistem ramalan cuaca serta amaran bencana negara.
“Pendekatan baharu itu dijangka mampu memberikan amaran lebih awal terhadap kejadian seperti banjir kilat, ribut tropika dan fenomena cuaca ekstrem lain sekali gus membolehkan pihak berkuasa bertindak lebih pantas serta membantu komuniti membuat persediaan lebih rapi.
“Sistem yang dipertingkatkan ini akan membolehkan kerajaan mengeluarkan amaran lebih awal, memberi lebih masa kepada masyarakat untuk bersiap sedia menghadapi cuaca ekstrem dan mengurangkan potensi kerosakan,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain integrasi AI kerajaan turut memperkukuh Pusat Kecemerlangan Iklim Kebangsaan bagi meningkatkan penyelidikan berkaitan impak perubahan iklim.
Inisiatif ini bertujuan menyokong pembangunan dasar yang lebih berdaya tahan bagi mengurangkan risiko iklim serta memastikan pertumbuhan mampan.
Arthur turut menekankan kepentingan literasi cuaca di peringkat akar umbi melalui program “Meteorologi untuk Rakyat” yang bertujuan memupuk budaya kesiapsiagaan dalam kalangan masyarakat supaya mereka bukan sahaja menerima amaran awal, tetapi juga memahami tindakan yang perlu diambil.
Menurutnya pendekatan tersebut menunjukkan keperluan menggabungkan inovasi teknologi dengan pendidikan awam dalam menghadapi cabaran perubahan iklim.
“Kerajaan percaya pelaburan dalam aset teknikal serta pembangunan kepakaran modal insan dalam bidang meteorologi amat penting bagi menjamin kelestarian sosioekonomi negara untuk jangka panjang,” ujarnya.
Di peringkat antarabangsa Malaysia terus aktif dalam Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) dan menyokong inisiatif seperti “Early Warnings for All”.
Komitmen itu selaras dengan matlamat pembangunan mampan negara bagi memastikan semua pihak mendapat perlindungan sewajarnya daripada risiko iklim.
Pengumuman tersebut dibuat bersempena Hari Meteorologi Sedunia 2026 yang disambut pada 23 Mac dengan tema “Pemantauan Hari Ini, Perlindungan Masa Hadapan”.
Arthur menegaskan bahawa sains meteorologi memainkan peranan penting dalam melindungi nyawa dan harta benda daripada peningkatan kejadian cuaca ekstrem akibat perubahan iklim global.
Katanya kementerian melalui Jabatan Meteorologi Malaysia komited untuk terus memperkukuh keupayaan pemantauan dan ramalan cuaca negara.
“Kami menggesa semua rakyat Malaysia supaya lebih peka terhadap kelestarian alam sekitar serta sentiasa berwaspada dengan maklumat cuaca rasmi.
“Setiap langkah kesiapsiagaan hari ini adalah perlindungan untuk generasi akan datang,” katanya.