Kota Kinabalu: Majlis Ugama Islam Sabah (Muis) mengumumkan dua kadar zakat fitrah pada tahun 1447H (2026) yang ditetapkan pada RM7.50 bagi mereka yang menjadikan beras putih import sebagai makanan harian dan RM15 bagi beras wangi, menjadikannya pertama kali untuk Sabah mempunyai kadar yang lebih tinggi.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Isnin Aliasnih berkata kadar ditetapkan itu berdasarkan sukatan satu gantang Baghdad atau 2.7 kilogram (kg) beras yang dimakan majoriti penduduk di wilayah ini.
Advertisement

“Kita perkenalkan dua kadar zakat fitrah iaitu mengikut harga beras biasa dan mahal bagi memudahkan umat Islam membayar zakat mengikut jenis beras yang mereka makan seharian.
“Penentuan kadar zakat fitrah ini hasil kerjasama Bahagian Zakat dan Fitrah Muis dengan Beras Corporation (Sabah) Sdn Bhd bagi mendapatkan data dan statistik mengenai beras di Sabah,” katanya pada majlis pengisytiharan Kadar Zakat Fitrah Tahun 2026 bersamaan 1447 Hijrah yang disempurnakan Yang Dipertua (YDP) Muis Datuk Seri Yahya Hussin, di sini, Selasa.
Hadir sama Mufti Negeri Sabah Datuk Bongsu @Aziz Jaafar, YDP Usia Datuk Sapawi Ahmad, Pegawai Eksekutif Muis Datuk Ramlan Ag Ali dan Pengarah Jheains Datuk Jumain Abd Ghani.
Sementara itu, Ramlan berkata tinjauan kuantiti dan harga jualan beras di Sabah dibuat pihaknya melibatkan beberapa pasaraya utama di lapan daerah iaitu Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, Lahad Datu, Kota Marudu, Beaufort, Keningau dan Ranau.
Katanya, hasil tinjauan itu menunjukkan beras putih import adalah sekitar RM2.82 sekilogram manakala purata harga beras wangi adalah sekitar RM5.43 sekilogram.
“Penentuan harga Zakat Fitrah di Sabah ikut timbangan satu gantang Baghdad selaras dengan peruntukan Enakmen Zakat dan Fitrah 1993, di bawah Seksyen 56 dan juga ketetapan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Tahun 2003.
“Muis juga melantik seramai 2,050 orang amil yang akan memungut dan mengagihkan zakat fitrah sepanjang Ramadan tahun ini,” katanya.
Pada majlis itu, Yahya turut mengumumkan jumlah keseluruhan pungutan zakat pada 2025 adalah sebanyak RM133,950,479.85 juta membabitkan zakat fitrah sebanyak RM12,390,428.93 juta dan zakat harta RM121,560,050.92 juta.
Jumlah pembayar zakat fitrah untuk tahun sama adalah seramai 1,651,815 orang, meningkat 39,259 orang atau 2.38 peratus berbanding 1,612,514 tahun sebelumnya.
“Sebanyak RM161,889,409.76 juta telah diagihkan kepada seramai 116,776 asnaf tahun lalu yang merupakan agihan tertinggi dalam sejarah pengurusan agihan Bahagian Zakat dan Fitrah Muis di Sabah.
“Agihan yang lebih tinggi berbanding kutipan pada tahun lalu ini adalah disebabkan kutipan yang tidak sempat diagihkan kepada asnaf pada tahun-tahun sebelumnya,” katanya.
Yahya berkata sebanyak RM21.6 juta diperuntukan Muis bagi Ramadan tahun ini untuk agihan iaitu RM20 juta kepada 55,000 asnaf dari golongan fakir, miskin dan mualaf, manakala RM1.6 juta diagihkan kepada seramai 2,050 amil sebagai upah bertugas.
Dalam pada itu katanya, Muis tahun ini menyasarkan pungutan zakat sebanyak RM160.2 juta membabitkan jangkaan pungutan zakat fitrah berjumlah RM13 juta dan RM147.2 juta bagi jangkaan pungutan zakat harta.
Sehubungan itu, Yahya menyeru semua umat islam sama ada individu atau syarikat supaya selain menunaikan zakat fitrah, turut menunaikan zakat perniagaan, pendapatan dan harta demi kepentingan ummah di Sabah.