SANDAKAN: Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) digesa menjalankan kajian mendalam sebelum memuktamadkan pemindahan Pasar Dinihari.
Timbalan Pengerusi Persatuan Pemborong Sayur dan Buah (Persabah) Suzaillah Jeffery berkata walaupun pihaknya telah dimaklumkan mengenai cadangan pemindahan pasar itu ke lokasi baharu atas beberapa faktor, penjaja tidak bersetuju untuk dipindahkan.
“Penjaja Pasar Dinihari berharap agar pasar ini tidak dipindahkan kerana ia memberi kesan kepada kelangsungan pendapatan mereka.
“Sekiranya MPS tetap membuat keputusan untuk memindahkan Pasar Dinihari, mereka memohon supaya diberikan tempoh masa yang panjang bagi tujuan penyesuaian.
“Selain itu, penjaja turut meminta penjelasan serta jaminan daripada MPS sama ada lokasi baharu itu mampu menarik pelanggan dan memastikan kelangsungan perniagaan mereka,” katanya ketika ditemui pada Rabu.
Sementara itu, Adun Elopura Calvin Chong berkata beliau menyambut sebarang pembangunan ekonomi serta usaha memperkasa aktiviti perdagangan di bandar ini, namun ia tidak seharusnya dilaksanakan secara berat sebelah atau mengorbankan punca rezeki peniaga kecil.
Chong berkata penjaja menyuarakan kebimbangan besar terhadap cadangan pemindahan ke Pasar Borong Bandar Ramai-Ramai kerana mereka sudah pernah dipindahkan sebanyak dua kali sebelum ini dan berdepan kekurangan pelanggan di lokasi berkenaan.
“Akhirnya, penjaja terpaksa kembali berniaga di tapak parkir Pasar Umum Sandakan kerana pendapatan di sana lebih stabil dan membolehkan mereka menyara keluarga.
“Pasar Dinihari masih boleh dikekalkan sekiranya seorang pengendali atau pihak pengurusan yang berwibawa dan tegas dilantik untuk menguruskan pasar tersebut.
“Pengendali ini perlu memastikan kebersihan pasar sentiasa terjaga, waktu berniaga dipatuhi, masalah kesesakan lalu lintas ditangani dengan berkesan serta disiplin peniaga dipantau secara konsisten,” katanya.
Chong turut menyarankan agar Pasar Borong Bandar Ramai-Ramai terus dibuka sebagai pilihan dan peluang kepada penjaja baharu atau penjaja yang bersedia untuk berpindah.
“Sebarang proses pemindahan tidak wajar dilakukan secara tergesa-gesa tanpa kajian menyeluruh, perbincangan yang telus serta persetujuan bersama.
“Penjaja perlu diberikan jaminan yang jelas dari segi aliran pelanggan, kemudahan, kos operasi dan kebolehlaksanaan perniagaan di lokasi baharu,” katanya.