PUSAT Kreatif Ekonomi Dan Inovasi Sabah (Scenic) komited memainkan peranannya sebagai pemudah cara ekosistem yang menghubungkan bakat tempatan dengan peluang, jaringan strategik serta pasaran yang lebih luas, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Lan Muslim.
“Kami mahu melihat artis Sabah bukan sahaja dikenali kerana bakat mereka tetapi juga keupayaan membina jenama serta memanfaatkan nilai ekonomi daripada karya kreatif,” katanya ketika menerima kunjungan hormat Juara Bintang RTM 2016 Rosario Bianis.
Pertemuan itu meneroka potensi kerjasama dalam memperkukuh laluan pembangunan kerjaya seni suara ke arah model perniagaan yang lebih mampan, berdaya saing dan berorientasikan nilai jangka panjang.
Antara intipati utama perbincangan ialah peranan Scenic dalam membantu penggiat seni melihat bakat kreatif bukan sekadar sebagai persembahan sebaliknya sebagai aset bernilai yang berpotensi dikomersialkan secara strategik.
“Pendekatan ini membuka ruang kepada artis seperti Rosario dan penggiat seni lain untuk membangunkan kerjaya berasaskan seni secara lebih tersusun, profesional dan lestari,” kata Mohd Lan.
Selain aspek keusahawanan kreatif, pertemuan itu turut membincangkan kepentingan kesedaran terhadap Hak Harta Intelek (IP) sebagai asas kepada kelestarian industri kreatif.
Mohd Lan berkata Scenic komited menyediakan pendedahan serta literasi IP kepada penggiat seni agar karya asli dapat dilindungi dan dimanfaatkan sebagai aset jangka panjang.
Tambahnya, perbincangan itu turut merangkumi beberapa elemen penting, antaranya pendedahan pasaran global melalui strategi memanfaatkan platform digital dan fizikal bagi memperluaskan capaian bakat Sabah ke peringkat antarabangsa, literasi IP merangkumi proses perlindungan cap dagang dan hak cipta bagi melindungi identiti serta karya kreatif, selain pembangunan jenama menerusi pendekatan penjenamaan dan pemasaran moden untuk meningkatkan daya saing penggiat seni dalam ekosistem kreatif global.
Sementara itu, Rosario menzahirkan rasa optimis terhadap sokongan yang ditawarkan oleh Scenic, yang dilihat mampu memberi nafas baharu kepada arena muzik dan industri kreatif di Sabah agar lebih profesional dan sistematik.