SANDAKAN: Kapal Diraja (KD) Pari, yang pernah memainkan peranan penting dalam Op Daulat bagi mengekang pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu pada 2013, mengakhiri perkhidmatan secara rasmi selepas 49 tahun bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Majlis pelucutan tauliah kapal perang itu berlangsung di Jeti Pangkalan TLDM Sandakan, pada Jumaat, yang disempurnakan oleh Panglima Armada Timur Laksamana Madya Datuk Khir Junaidi Idris, mewakili Panglima Tentera Laut.
Khir berkata upacara pelucutan tauliah kapal rondaan itu bukan sekadar menamatkan aset lama sebaliknya simbol penting kepada proses transformasi TLDM ke arah armada yang lebih moden dan berkeupayaan tinggi.
“Kapal ini sudah berkhidmat dengan cemerlang dalam menjalankan tugas di perairan Sabah dan Semenanjung dengan rekod pelayaran 397 juta batu nautika, selain terbabit dengan pelbagai operasi penting serta latihan bersama kapal tempatan dan luar negara.
“KD Pari menjadi kapal pertama daripada skuadron yang dilucut tauliah pada tahun ini dan ada beberapa lagi kapal dijangka akan dilucut tauliah secara berperingkat,” katanya selepas menyempurnakan upacara pelucutan tauliah itu di sini, Jumaat.
Dalam pada itu, beliau berkata KD Pari juga memainkan peranan penting dalam menyokong misi Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah (Esscom) bagi menjamin zon keselamatan di kawasan perairan timur negeri itu Sabah Timur.
KD Pari dilancarkan pada 1975 di Limbungan Hong Leong-Lurssen, Butterworth, Pulau Pinang dan seterusnya ditauliahkan pada 23 Mac 1977.
Menggunakan panggilan antarabangsa 9MJO dan nombor pennant 3510, kapal ini pada mulanya diletakkan di bawah Skuadron Fast Attack Craft (Gun) bersama lima kapal ronda lain di bawah kelas Jerong.
Skuadron ini terdiri daripada KD Jerong (3505), KD Todak (3506), KD Paus (3507), KD Yu (3508) dan KD Baung (3509), selain KD Pari (3510).
Pada 2019, skuadron tersebut ditukarkan kepada Skuadron Kapal Ronda Laju (SKRL - 6) yang turut menggabungkan KD Serang (3502) dan KD Ganas (3503).
Kesemua kapal milik TLDM itu seterusnya diletakkan di bawah naungan Markas Wilayah Laut 2 (Mawilla 2) yang berpangkalan di Sandakan bagi menjalankan tugas rondaan, terutamanya di pantai timur Sabah.