TAWAU: Dua remaja lelaki tempatan berumur 14 tahun, yang disyaki terlibat dalam kes curi skuter dan penggunaan nombor pendaftaran palsu, diberkas di dua lokasi berasingan di sini, pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Hussin berkata kedua-dua suspek di bawah umur itu diberkas selepas keberadaan mereka dikesan oleh sepasukan anggota ‘strike team’ Balai Polis Tawau.
“Suspek pertama diberkas di tepi jalan berhampiran deretan premis kedai di Ambar Park kira-kira jam 5.45 petang selepas didapati cuba menghidupkan enjin sebuah skuter dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan mendapati skuter jenis Yamaha Ego yang dinaiki oleh suspek menggunakan nombor pendaftaran kenderaan yang meragukan,” katanya.
Jasmin berkata pemeriksaan lanjut terhadap nombor casis kenderaan terbabit juga mendapati jentera dua roda berkenaan termasuk dalam kes skuter yang dilaporkan hilang oleh pemilik asalnya.
Penahanan suspek kedua dlakukan di kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR) Taman Semarak kira-kira jam 7.30 malam.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan melibatkan kes curi kenderaan, yang membawa hukuman penjara antara satu hingga tujuh tahun dan boleh juga didenda jika sabit kesalahan,” katanya.
Beliau turut menggesa ibu bapa memantau pergerakan anak masing-masing kerana pihak polis akan terus mempergiatkan operasi pencegahan jenayah harta-benda, termasuk dalam kalangan golongan remaja.