SANDAKAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan berjaya menahan sebuah bot disyaki membawa muatan minyak sawit mentah tanpa kebenaran sah dalam satu operasi penguatkuasaan di perairan Sandakan pada Selasa.
Pengarah Zon Maritim Sandakan Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata bot tersebut ditahan oleh kapal peronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Op Sejahtera, Op Pluto Timur, Op Cegah PTI dan Op Tiris pada kedudukan kira-kira 0.8 batu nautika tenggara dari Kampung Gas selepas dikesan bergerak dalam keadaan mencurigakan pada jam kira- kira 12.55 pagi.
Beliau memaklumkan bot terbabit dikendalikan oleh seorang lelaki warga tempatan berusia 38 tahun bersama seorang lelaki warga asing berusia 42 tahun.
Bagaimanapun kedua-duanya gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan pemilikan serta pengangkutan minyak sawit mentah ketika pemeriksaan dijalankan.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut membawa kira-kira tujuh tan minyak sawit mentah yang disyaki tanpa permit atau kebenaran sah daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
“Kes disiasat di bawah Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998 (Akta 582) kerana gagal mempamerkan Ikrar Pergerakan Domestik MPOB,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Selain itu menurutnya siasatan turut dijalankan di bawah Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 serta Peraturan-Peraturan Pelabuhan dan Dermaga (Kapal Kecil Berlesen Sabah) 2008 atas kesalahan gagal mempamerkan lesen, tidak mempamerkan nombor pendaftaran dan membawa muatan minyak sawit mentah tanpa kebenaran.
Muhamad Suhairy Kesemua menyatakan kesemua individu yang ditahan bersama bot dan muatan yang dianggarkan bernilai RM75,000 telah diiring masuk ke Jeti Zon Maritim Sandakan untuk siasatan lanjut oleh pegawai penyiasat Maritim Malaysia dengan kerjasama pihak MPOB.