KENINGAU: Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB) terus komited memperkasa sektor pertanian luar bandar menerusi pelaksanaan Program Peningkatan Pendapatan (PPP) sebagai satu inisiatif strategik bagi membantu pekebun kecil dan sederhana memasarkan hasil tanaman mereka secara lebih tersusun dan berdaya saing.
Pengurus Besar SLDB Datuk Syaheddrul R. Joddari berkata program berkenaan bukan sahaja memberi manfaat langsung kepada peserta SLDB, malah turut membuka peluang kepada peniaga pertanian setempat serta pembeli tempatan untuk mendapatkan bekalan hasil pertanian segar pada harga berpatutan.
Menurutnya, sejak diperkenalkan, PPP menerima sambutan amat menggalakkan daripada pelbagai pihak sekali gus membuktikan keperluan kepada satu platform pemasaran yang lebih sistematik dan mampan bagi petani di negeri ini.
“Objektif utama pelaksanaan PPP adalah untuk meningkatkan pendapatan peserta SLDB.
“Namun, dalam tempoh beberapa bulan pelaksanaannya, program ini telah diperluaskan kepada peniaga pertanian setempat dan komuniti sekitar dengan hasil yang sangat memberangsangkan.
“Program ini dijalankan secara berterusan setiap bulan, dengan SLDB berperanan sebagai platform penghubung antara petani dan pembeli bagi memastikan hasil pertanian segar dapat dipasarkan secara terus dan efisien,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Pusat Pengumpulan PPP di Pejabat SLDB Wilayah Keningau, di sini.
Tambahnya, pelaksanaan PPP turut memanfaatkan penggunaan kemudahan digital bagi memudahkan urusan pembelian dan pengurusan hasil pertanian, sekali gus membantu petani menembusi pasaran yang lebih luas dan tersusun selaras dengan perkembangan teknologi semasa.
“Inisiatif ini bukan sahaja memberi fokus kepada aspek pemasaran, malah turut menekankan penambahbaikan rantaian bekalan supaya hasil pertanian dapat dikendalikan dengan lebih cekap, telus serta memberi pulangan yang lebih baik kepada petani,” jelasnya.
Dalam pada itu, Syaheddrul turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga kerja SLDB yang disifatkan kreatif dan inovatif dalam merangka serta melaksanakan program berkenaan demi membantu meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk setempat, khususnya di kawasan luar bandar.
Beliau berharap program itu dapat diteruskan dan diperluaskan ke lebih banyak wilayah SLDB pada masa hadapan, sejajar usaha memperkasa sektor pertanian sebagai pemangkin pembangunan ekonomi negeri.
Sementara itu, seorang pembeli yang ditemui, Sandra Justine, menyifatkan PPP sebagai satu inisiatif yang amat baik dalam menggalakkan petani tempatan memasarkan hasil buah-buahan dan tanaman mereka secara terus kepada pengguna tanpa melalui orang tengah.
Menurutnya, selain membantu petani menjana pendapatan yang lebih stabil, program itu turut memberi manfaat kepada pembeli kerana harga yang ditawarkan lebih berpatutan, berkualiti dan tidak membebankan pengguna.
“Program seperti ini wajar diteruskan kerana ia mewujudkan situasi menang-menang kepada petani dan pembeli. Kita dapat hasil segar manakala petani pula memperoleh pendapatan yang lebih adil,” katanya.