BELURAN: Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) digesa mempertimbangkan pembinaan pusat latihan tanaman berasaskan teknologi sebagai hab latihan dan pembangunan kemahiran di daerah ini.
Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Samad Jambri, berkata langkah itu penting bagi meningkatkan kemahiran serta taraf ekonomi masyarakat setempat, khususnya golongan B40, untuk jangka panjang.
“Sekiranya pihak JPSM dapat melaksanakannya di daerah Beluran ini, sama ada melalui pembinaan pusat latihan dan sebagainya, kami menyambut baik dan akan memberikan sokongan sepenuhnya,” katanya.
Adun Labuk itu menjelaskan bahawa pembinaan pusat latihan di daerah ini amat diperlukan bagi memastikan pelaksanaan program pembangunan kemahiran dapat dijalankan secara berterusan dan lebih tersusun, selain memudahkan penyertaan masyarakat luar bandar tanpa perlu ke daerah lain.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan dan Penyampaian Sijil Kursus Smart Farming IoT (Tanaman Fertigasi) Daerah Beluran 2026, di sini, Ahad.
Samad memaklumkan kursus selama 10 hari yang dikendalikan oleh JPSM dengan kerjasama Global Skill Hub (GSH) itu disertai 20 peserta dalam kalangan belia B40 dari daerah berkenaan.
Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya menyambut baik pelaksanaan kursus berasaskan teknologi moden seperti Smart Farming IoT yang menggabungkan sektor pertanian dengan penggunaan teknologi digital, sekali gus menjadikan Beluran sebagai daerah pertama melaksanakannya.
“Ini memberikan kelainan serta impak baharu kepada petani, khususnya peserta kursus, dan diharapkan mereka dapat mengaplikasikan pertanian menggunakan teknologi yang lebih moden.
“Saya melihat inisiatif ini sangat baik untuk terus dikembangkan, lebih-lebih lagi apabila pelaksanaannya memberi tumpuan kepada golongan B40 dan petani luar bandar, yang diyakini mampu menambah baik serta meningkatkan ekonomi mereka pada masa hadapan,” katanya.
Turut hadir, Timbalan Setiausaha Tetap II yang mewakili Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Shafaruddin Halide; Pengarah JPSM, Kamsiah Ibrahim; Pegawai Daerah, Roger Appolonius; Ketua Polis Daerah, Supt Hassan Majid; dan Pengarah GSH, Datuk Haryaty Hamdzah.