TAWAU: Pembukaan pusat SainsXPlor Tawau yang bernilai RM6 juta membabitkan kerjasama Kementerian Pendidikan, Sains Teknologi dan Inovasi (KSPTI) dengan Petronas menjadi tanda kemajuan dalam usaha memperkasa pembangunan modal insan di Sabah.
Menterinya Datuk James Ratib berkata SainsXPlor itu menandakan pembukaan sebuah pusat pendidikan berteraskan interaktiviti dan kreativiti malah permulaan kepada perjalanan baharu anak-anak Tawau dalam bidang sains dan teknologi.
“Mudah-mudahan pusat sains ini menjadi sumber inspirasi yang membuka minda, membangkitkan minat dan menyuburkan impian pelajar untuk meneroka bidang sains dan teknologi.
“SainsXplor Tawau adalah manifestasi hubungan baik antara sektor awam dan sektor industri serta menunjukkan bahawa apabila kita bekerjasama dengan visi yang jelas manfaatnya akan dapat dirasai oleh rakyat secara menyeluruh,” katanya.
James berkata demikian dalam Majlis Perasmian SainsXPlor Tawau di Garden City, Jalan Chong Thien Vun pada Khamis yang turut dihadiri Pembantu Menteri KPSTI Jordan Jude Ellron.
Tambahnya pusat terbabit menyediakan suasana yang kondusif bagi pelajar untuk meneroka dunia sains dengan lebih dekat, memahami konsep kompleks dengan cara yang menyeronokan dan membina keyakinan terhadap kemampuan diri.
“Pada masa sama guru dan ibu bapa turut mendapat manfaat apabila ruang ini menjadi tempat menyokong pembelajaran yang dinamik dan inklusif sekali gus merapatkan jurang antara bandar dan luar bandar di seluruh Sabah.
“Kita juga kini dalam proses membuka satu lagi pusat SainsXplor di Sandakan yang turut menelan kos sebanyak kira-kira RM6 juta dan dijangka siap pada pertengahan tahun ini yang turut melibatkan kolaborasi dengan Petronas.
“Kita turut mempertimbangkan untuk mengembangkan program ini di kawasan pedalaman seperti Paitan, Sook, Keningau Kuamut, Sipitang dan sebagainya untuk memastikan lebih ramai pelajar menerima manfaatnya”, katanya.
Menurutnya Kerajaan Negeri akan terus menyokong usaha ke arah membangunkan ekosistem pendidikan yang progresif, inklusif dan berimpak tinggi bagi memastikan masa depan Sabah terus cerah serta berdaya maju.
“Bagi pihak Kerajaan Negeri saya merakamkan penghargaan kepada semua yang hadir serta kepada pihak Petronas dan Petrosains atas kerjasama erat yang memungkinkan terbinanya pusat sains ini.
“Sabah sentiasa menekankan kepentingan pendidikan sebagai asas pembinaan masyarakat yang berdaya saing dan maju selaras dengan kerangka Sabah Maju Jaya (SMJ),” katanya.
Beliau berkata melalui SMJ juga keutamaan diberikan kepada pengukuhan bidang ilmu yang menyokong keperluan ekonomi masa hadapan terutama ketika dunia semakin dipacu oleh sains dan teknologi. Mengulas lanjut Kerajaan Negeri turut melihat pendidikan STEM sebagai jambatan penting yang menghubungkan anak-anak Sabah kepada peluang pekerjaan lebih luas, pembangunan industri yang lebih pesat dan kemajuan sosial seimbang.
Sementara itu Naib Presiden Kanan dan Ketua Pegawai Sumber Manusia Kumpulan Petronas Ruslan Islahudin berkata penubuhan SainsXplor Tawau mencerminkan komitmen Petronas dalam memupuk bakat serta memperkukuh pendidikan STEM di Sabah.
“Inisiatif ini direalisasikan melalui kerjasama erat dengan Kerajaan Negeri dengan penawaran pengalaman pembelajaran yang interaktif dan praktikal,” ujarnya.