Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri sedang berusaha memperkukuh sistem Mahkamah Anak Negeri (MAN) dengan bidang kuasa jelas, struktur institusi mantap serta pegawai berintegriti dan berkeupayaan.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata, usaha itu merangkumi prosedur moden, tersusun dan berkesan bagi memastikan keadilan kekal relevan.
Pada tahun ini, katanya, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah memperuntukkan RM84.40 juta bagi perbelanjaan operasi dan program pemeliharaan kebajikan serta adat masyarakat pribumi.
“Daripada jumlah itu, RM69.98 juta diperuntukkan bagi pembayaran elaun dan pentadbiran Ketua-Ketua Adat Negeri, manakala RM2.7 juta bagi projek pembinaan berterusan Mahkamah Anak Negeri di Tamparuli, Sook dan Paitan,” katanya ketika berucap pada Seminar Memperkasa Keadilan Anak Negeri – Hala Tuju Masa Hadapan, pada Sabtu.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.
Ketua Menteri turut menekankan keperluan untuk mengkaji semula undang-undang yang mengawal adat anak negeri agar selari dengan realiti semasa.
“Sebahagian undang-undang digubal pada era penjajahan dan perlu diperhalusi. Sabah telah berubah; masyarakat, nilai ekonomi dan struktur sosial turut berkembang.
Undang-undang mesti menyesuaikan diri bagi memastikan keadilan terus berfungsi tanpa menjejaskan adat dan warisan kita,” katanya.
Beliau menambah, seminar berkenaan menjadi platform perbincangan secara terbuka bagi mencari penyelesaian yang adil dan menyeluruh.
“Memperkukuh undang-undang adat dan sistem keadilan merupakan satu langkah ke hadapan, memastikan Sabah terus maju sambil memelihara identiti dan warisannya,” kata Hajiji.
Beliau menegaskan program itu penting bagi masa depan masyarakat pribumi Sabah.
“Sabah kaya dengan adat, identiti dan budaya masyarakat pribuminya yang telah berakar umbi sejak turun-temurun,” katanya.