Kota Kinabalu: Mahkamah Koroner diberitahu satu laporan rasmi berhubung insiden melibatkan Allahyarham Zara Qairina Mahathir telah dikemukakan kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).
Pengetua SMKA Tun Datu Mustapha, Shaharoom Hashim, 51, berkata laporan rasmi itu disediakan oleh Setiausaha Hal Ehwal Murid (Hem) sekolah berkenaan.
Advertisement

Shaharoom yang dipanggil semula untuk memberi keterangan susulan pendedahan kenyataan bertulis oleh pelajar menjawab soalan peguam Shahlan Jufri di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan mengenai kewujudan laporan rasmi berkaitan insiden Zara.
Menjawab soalan Shaharoom menjelaskan bahawa maklumat awal mengenai kejadian itu dimaklumkan olehnya melalui aplikasi WhatsApp pada awal pagi menyatakan berlaku satu insiden kemalangan melibatkan seorang pelajar dan pihak sekolah telah menghubungi ambulans.
“Dalam perjalanan ke hospital saya sendiri memaklumkan kejadian itu kepada PPD dan JPN,” katanya.
Bagaimanapun beliau menegaskan laporan bertulis rasmi bukan disediakan olehnya.
Selepas mesej awal dihantar katanya penyelarasan serta butiran lengkap kejadian telah diuruskan oleh Setiausaha Hem sebelum laporan itu dimaklumkan kepadanya dan seterusnya dihantar kepada PPD dan JPN.
Shaharoom mengesahkan beliau telah melihat laporan rasmi tersebut namun laporan berkenaan disimpan oleh pihak Hem.
Laporan yang berada dalam simpananya hanyalah laporan awal yang dihantar pada awal pagi 16 Julai 2025.
Beliau memberitahu mahkamah bahawa laporan itu dihantar kepada PPD dan JPN melalui aplikasi WhatsApp dan sepatutnya masih disimpan dalam fail dokumentasi sekolah.
Menurut Shaharoom beliau meneliti laporan berkenaan melalui WhatsApp memandangkan tindakan segera perlu diambil dan laporan itu perlu dihantar dengan segera.
Beliau turut memaklumkan kepada koroner bahawa beliau telah melihat dan meneliti laporan rasmi tersebut sebelum menghantarnya kepada JPN dan PPD serta menyatakan laporan tiga muka surat itu disimpan di dalam telefon bimbitnya.
Susulan pendedahan kewujudan laporan berkenaan koroner menangguhkan prosiding sementara bagi membolehkan semua pihak meneliti dokumen baharu itu.
Shaharoom seterusnya memberi keterangan bahawa laporan tersebut disediakan oleh Setiausaha Hem merangkap warden Rahmatina dan beliau telah meneliti laporan itu sebelum menghantarnya. Beliau juga memaklumkan bahawa laporan berkenaan ditandatangani olehnya.
Menurutnya lagi terdapat dua laporan bertulis berasingan iaitu laporan awal mengenai kes seorang pelajar yang terjatuh di asrama SMKA Tun Datu Mustapha, Limawan, Papar serta satu laporan awal khusus berkaitan kes Zara yang mengandungi tiga muka surat.
Beliau berkata laporan pertama diterimanya pada 16 Julai ketika berada di hospital sebelum ia dihantar kepada PPD dan JPN. Laporan kedua pula diterima beberapa hari kemudian selepas laporan awal pertama diterima.
Shaharoom menjelaskan laporan pertama dihantar kepada PPD dan JPN melalui WhatsApp manakala laporan kedua hanya disampaikan secara lisan.
Menurutnya butiran masa dalam laporan diperoleh melalui perbincangan bersama pihak Hem dan warden ketika beliau berada di hospital pada hari kejadian.
Beliau menegaskan bahawa kandungan laporan kedua telah diterangkan secara lisan kepada pihak PPD dan JPN semasa lawatan mereka ke sekolah pada 18 Julai.
Apabila diasak oleh peguam Shaharoom mengakui laporan kedua tidak pernah dikemukakan secara bertulis kepada PPD atau JPN sebaliknya hanya dibentangkan secara lisan.
Menjawab soalan lanjut beliau memaklumkan mahkamah bahawa satu mesyuarat penyelarasan bagi menyelaraskan kronologi kejadian telah diadakan pada 17 Julai di bilik mesyuarat sekolah.