Kota Kinabalu: University College Sabah Foundation (UCSF) melakar sejarah apabila melancarkan program Ijazah Sarjana Muda Sains Seni Bina (Kepujian) pada Isnin sekali gus menjadi institusi pertama di Sabah yang menawarkan ijazah dalam bidang seni bina.
Majlis pelancaran yang diadakan di Shangri-La Tanjung Aru itu dihadiri kira-kira 150 tetamu termasuk wakil Persatuan Arkitek Malaysia (PAM) Cawangan Sabah serta bakal pelajar.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UCSF Datuk Dr Mohd Yaakub Johari.
Antara acara kemuncak majlis ialah sesi perkongsian khas oleh Datuk Tengku Abdul Aziz Tengku Mahmud iaitu tokoh yang mengetuai pembangunan Menara Merdeka 118 selaku bangunan kedua tertinggi di dunia ketika ini.
Dalam sesi berkenaan Tengku Abdul Aziz berkongsi pengalaman serta pandangan mengenai projek ikonik itu yang turut disertai sesi soal jawab bersama para hadirin.
Naib Canselor UCSF Datuk Dr Rafiq Idris memaklumkan bahawa program tersebut akan menerima kumpulan pelajar sulung pada Februari ini.
“Kisah Menara Merdeka 118 harus mengingatkan anda bahawa tiada visi yang terlalu tinggi jika dibina atas asas ilmu dan ketekunan yang kukuh,” katanya kepada pelajar perintis program tersebut.
Beliau berharap program itu nanti dapat menyumbang kepada pembinaan masa depan yang mengharmonikan alam sekitar, budaya dan kemajuan.
Pada majlis berkenaan, Naib Canselor UCSF turut mencadangkan pelantikan Tengku Abdul Aziz sebagai penasihat kepada Program Seni Bina UCSF.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada rakan strategik yang memberikan sokongan teknikal dan profesional dalam penubuhan program berkenaan, termasuk Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) dan PAM Cawangan Sabah.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih dan penghargaan atas sokongan kepakaran, bantuan profesional, teknikal serta sokongan moral daripada Universiti Sains Islam Malaysia dan Persatuan Arkitek Malaysia Cawangan Sabah,” katanya.