KUNAK: Seorang pemandu lori treler berumur 46 tahun mengalami kecederaan ringan selepas lori yang dipandunya dengan muatan tong gas petroleum cecair (LPG) terbabas di Jalan Kunak-Lahad Datu, berhampiran Kg Ladang Bugis, awal pagi Selasa.
Balai Bomba dan Penyelamat Kunak menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu, yang berlaku kira-kira 13km dari balai, pada jam 3.15 pagi.
Pegawai Bomba Kanan 1 (PBK) Muhammad Kamarulzaman berkata sepasukan enam anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Ketika bomba tiba mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam daripada kenderaan itu,” katanya.
Treler itu dipercayai terbabas sendiri menyebabkan muatannya tong gas LPG bergelimpangan di sekitar lokasi kejadian.
Bomba kemudian mengalihkan tong-tong gas itu ke tempat yang selamat untuk mengelak gangguan lalu lintas.
Pemandu yang cedera dibawa ke hospital menggunakan ambulan untuk rawatan lanjut.
Operasi ditamatkan sepenuhnya jam 3.50 pagi.